Persempadanan semula faktor kemenangan

in Edisi by


PONTIAN – Persempadanan semula kawasan Dun Pulai Sebatang sebelum PRU14 menjadi antara faktor kemenangan calon PKR dari Amanah, Taqiuddin Cheman.


Dun Pulai Sebatang merupakan kerusi tradisi yang dimenangi MCA sejak PRU 11.


Pengerusi Pakatan Harapan Pontian, Raden Sarobo berkata, kemenangan diperoleh calon muda, Taqiuddin Cheman, 30  yang merupakan Ketua Pemuda Amanah Johor di Dun Pulai Sebatang, sememangnya sudah dijangka.


Katanya, keyakinan mendapat kemenangan itu banyak disandarkan kepada faktor persempadanan semula kawasan Dun Pulai Sebatang yang menyaksikan pertambahan jumlah pengundi terutama pengundi dari kaum Cina.


“Bila berlakunya persempadanan semula, kita dapati kira-kira 3,600 pengundi bertambah.


“Pengundi yang kebanyakannya dari kaum Cina ini terdiri dari pengundi di kawasan Pusat Daerah Mengundi ( PDM) Parit Mesjid dan PDM Parit Mesjid Darat.


“Sebelum persempadanan semula iaitu pada PRU13 lalu, kedua-dua PDM ini diletakkan di bawah kawasan Dun Pekan Nanas,”katanya.


Jelasnya, peratusan pertambahan jumlah pengundi kaum Cina dari 34% pada PRU13  kepada 38% pada PRU kali ini dirasakan sangat membantu kemenangan Pakatan Harapan di Dun Pulai Sebatang.


Bagaimanapun, beliau tidak menafikan tsunami Melayu turut menyumbangkan kepada kemenangan Taqiuddin selain faktor pertambahan pengundi akibat persempadanan semula yang terjadi.


“Saya berpandangan berlaku tsunami Melayu di Pontian, di mana penduduk tinggal di pinggar bandar seperti pekan menyuarakan suara hati mereka yang mahukan perubahan.


“Selain itu kebangkitan anak muda juga faktor kemenangan Pakatan Harapan di Dun Pulai Sebatang,”katanya ketika ditemui di Dewan Jubli Intan Pontian, selepas pengumuman keputusan undi PRU14 malam tadi.


Beliau turut berpandangan perncapaian calon PKR, Karmaine Sardini yang mendapat majoriti undi tipis 833 undi  ke atas pencabarnya Datuk Seri Ahmad Maslan, sesuatu yang amat membanggakan Pakatan Harapan.


“Karmaine tetap mendapat keputusan yang sangat cemerlang kerana kemenangan diperoleh pencabarnya terlalu tipis.


“Bagi saya, kerusi Parlimen Pontian ini sebenarnya agak panas, sebab kerusi Parlimen Pontian mendapat perhatian luas media terutama media sosial.


“Oleh itu, Karmaine sudah melakukan yang terbaik buat penyokong Pakatan Harapan di Pontian,”katanya.

 


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]