Pulau Pinang belum putus tarikh angkat sumpah ketua menteri

in Edisi Utara by


GEORGETOWN – Kerajaan Pulau Pinang yang kini disandang Pakatan Harapan (Harapan) belum memutuskan tarikh untuk majlis mengangkat sumpah bagi ketua menteri baharunya.


Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang (SUK), Datuk Seri Farizan Darus berkata, kerajaan negeri belum mempunyai tarikh tetap bagi mengadakan upacara tersebut.


Menurutnya, pihaknya akan memaklumkan kepada media selewat-lewatnya Sabtu itu berhubung tarikh yang ditetapkan.


“Sedang mencari tarikh. Press akan dimaklumkan selewat-lewatnya Sabtu ini tentang tarikh itu.


“Sabar ya,” jawabnya ringkas ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp tadi.


Bagaimanapun, menurut sumber, upacara tersebut bakal diadakan pada Isnin, 14 Mei ini namun belum disahkan tentang perkara itu.


Difahamkan, tarikh upacara itu belum dapat ditetapkan berikutan beberapa pemimpin negeri termasuk Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow kini berada di ibu negara bersama pemimpin Harapan lain.


Walaupun ada yang menjangkakan Guan Eng akan terus memegang jawatannya itu, namun khabar angin mengatakan jawatan tertinggi dalam kerajaan negeri itu akan diberikan kepada Kon Yeow.


Ia dikuatkan lagi apabila Guan Eng secara tidak rasminya menyatakan perkara itu dalam ucapannya ketika mengumumkan calon DAP untuk PRU14, April lalu.


Harapan kekal di Pulau Pinang bagi penggal ketiga selepas menyapu bersih 37 daripada 40 kerusi Dun dan 11 daripada 13 kerusi Parlimen.


PRU14 merupakan sejarah negara apabila Harapan yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya merampas kuasa kerajaan yang dikuasai BN selama 60 tahun.

 


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]