Selesa dipanggil Pak Wan

in Edisi by


ALOR GAJAH – “Penduduk panggil saya Pak Wan pun tak apa, sebab rakyat yang memilih dan mereka kenal saya dengan panggilan itu, malah saya selesa kalau rakyat terus memanggil Pak Wan tanpa ada gelaran YB,” kata Pengerusi Bersatu Melaka, Mohd Redzuan Yusof.


Mohd Redzuan yang merupakan calon PKR bagi Parlimen P135 Alor Gajah memperolehi 22,350 undi sekali gus menewaskan calon BN, Datuk Wong Nai Chee dengan majoriti 6,980 undi.


Mohd Redzuan berkata, selepas mengangkat sumpah secara rasminya sebagai wakil rakyat kawasan itu, beliau akan turun ke setiap kawasan bagi terus memperkenalkan diri dan melihat masalah hingga ke akar umbi lebih-lebih lagi perkara yang berkaitan dengan bebanan rakyat.


Menurutnya, usaha untuk turun ke setiap kampung tidak dapat dilakukan dalam tempoh berkempen yang lalu, kerana ada kawasan yang agak ‘keras’ untuk beliau masuk seperti Felda Mengggong, Alor Gajah dan satu lokasi di Asahan.


“Bukan saya tak nak masuk, tapi bila ada yang ‘keras’ kita tak mahulah berlaku apa-apa kerana kita nak segalanya berjalan dengan baik dan matang.


“Tapi selepas ini, saya akan bertemu mereka untuk ucapkan terima kasih.


“Semalam bila saya melawat beberapa pusat mengundi ada yang berbisik kepada saya kenapa Pak Wan tak datang, kami nak jumpa Pak Wan, kami pangkah Pak Wan dan itu buatkan hati saya terusik dan betapa rakyat mahukan perubahan,” katanya kepada Sinar Harian.


Jelas Pak Wan kemenangannya itu merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang besar untuk beliau memperjuangkan nasib rakyat terutama dalam kawasan Parlimen itu.

 


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]