Setuju kerajaan campuran tapi ikut syarat Pas

in Uncategorized by


BAGAN SERAI – Pas Perak berpendirian lebih bersetuju membentuk kerajaan campuran dengan pakatan parti yang dominan di negeri itu, dengan persetujuan perlu mengikut syarat ditetapkan parti itu.


Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, Pas bersedia membentuk kerajaan dengan mana-mana pakatan parti yang bersetuju untuk lebih memberikan manfaat dan keuntungan kepada Islam dalam pentadbiran mereka.


Menurutnya, sehingga kini, masih tiada sebarang perbincangan dibuat Pas Perak bersama mana-mana pakatan parti, sama ada Harapan atau BN, untuk membentuk kerajaan campuran sebagaimana disarankan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.


“Setelah memenangi tiga kerusi Dun di Perak, Pas parti minoriti mewakili blok ketiga dan bersedia menjadi kingmaker yang boleh bekerjasama dengan sesiapa yang untungkan Islam.


“Kita lebih bersetuju untuk membentuk kerajaan campuran seperti di Selangor sebelum ini, apabila Pas berada dalam kerajaan negeri itu namun tidak berpakat dan mempunyai konsensus dengan Harapan,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.


Razman berkata, Pas sebagai blok ketiga lebih selesa mengekalkan sikap berkecuali dan bersetuju dengan usaha menyelamatkan negara secara pendekatan Islam.


Menurutnya, Pas juga turut bersetuju dengan keutamaan kepada usaha menyegerakan pelantikan kepimpinan negara sebagaimana dinyatakan dalam hadis nabi.


“Dalam keadaan sekarang, paling penting adalah untuk menyelamatkan negara dan membentuk kerajaan campuran di Perak dengan bersama dengan mana-mana pihak yang bersetuju syarat Pas.


“Pas akan bersikap tunggu dan lihat,” katanya.


Mengenai pencapaian Pas di Perak pada PRU14, Razman mengakui pihaknya menjangkakan sepatutnya lebih banyak kerusi Dun dan Parlimen yang mampu dimenangi Pas.


Beliau yang memenangi kerusi Dun Gunong Semanggol berkata, sepatutnya tujuh kerusi Dun di daerah Kerian melibatkan Parlimen Parit Buntar dan Bagan Serai mampu menjadi milik Pas.


“Bagi kerusi Dun Selama dan Kubu Gajah, kedua-dua kerusi itu sememangnya termasuk dalam dua kerusi Dun sasaran kita.


“Namun, apabila hampir semua kerusi Dun di Kerian kalah, jadi pelik dan Pas benar-benar terkejut dengan minda keputusan pengundi Melayu.


“Pas menyedari berlaku gelombang menurunkan Umno dan BN, namun tidak sangka pengundi Melayu akan bersama Harapan,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]