Tiga Exco gagal pertahan kerusi

in Edisi by


IPOH – Tiga ahli mesyuarat kerajaan negeri gagal mempertahankan kerusi masing-masing dalam PRU14 ini apabila tewas kepada calon PKR.


Exco Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon yang bertanding di Parlimen Tanjong Malim tewas dengan majoriti 5,358 undi kepada PKR, Chang Lih Kang.


Pada PRU13, beliau yang merupakan Pengerusi MCA negeri merupakan satu-satunya calon MCA yang menang di kerusi Dewan Negeri iaitu di Dun Chenderiang, namun dipilih bertanding atas kerusi Parlimen pada pilihan raya kali ini.


Dalam pada itu, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rusnah Kassim yang bertanding di Dun Behrang turut tewas kepada calon PKR.


Rusnah yang juga Ketua Wanita BN Perak tewas dengan majoriti tipis iaitu 409 undi kepada Aminuddin Zulkipli (PKR).


Di Dun Kamunting, Exco Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid terpaksa akur dengan kekalahan dalam persaingan tiga penjuru apabila calon PKR, Muhd Fadhil Nuruddin menang dengan majoriti 1,780.


Ini kekalahan pertama bagi ketiga-tiga Exco sejak pilihan raya 2008.


Ahli mesyuarat kerajaan negeri lain yang berjaya mempertahankan kerusi kepada BN adalah


Exco Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah, Datuk Mohd Nizar Zakaria (Parlimen Parit); Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan, Datuk Saarani Mohamad (Kota Tampan); Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin (Sungai Manik); Exco Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil, Datuk Samsudin Abu Hassan (Ayer Kuning); Exco Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria (Batu Kurau) serta Exco Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Shahrul Zaman Yahya (Rungkup) dan Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Tualang Sekah).


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]