Tun M angkat sumpah Perdana Menteri 5 petang ini

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh sebelum 5 petang ini di Istana Negara di sini.


Terdahulu, Dr Mahathir dalam sidang akhbar bersama para pemimpin dalam Pakatan Harapan berkata, terdapat keadaan mendesak bagi negara untuk menubuhkan sebuah kerajaan secepat mungkin oleh kerana tempoh kerajaan sementara telah pun berakhir malam tadi.


Seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik seorang anggota parlimen yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti anggota Dewan Rakyat sebagai perdana menteri.


“Jadi, anggota dalam Pakatan Harapan, semua ahli parlimen yang menyertai Pakatan Harapan, telah pun menandatangani dan mengisytiharkan bahawa mereka menyokong calon yang dipilih oleh parti gabungan ini untuk menjadi perdana menteri. Anda telah pun mendengar nama calon berkenaan, iaitu Dr Mahathir Mohamad.


“Kami berharap sebelum jam 5 petang ini, akan berlangsung upacara mengangkat sumpah. Sebab tanpa perdana menteri, tidak akan ada kerajaan, tanpa kerajaan, tidak akan ada undang-undang dan perlembagaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini berhubung kelewatan upacara mengangkat sumpah itu.


Hari ini, Istana Negara telah meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) segera mengumumkan keputusan PRU14, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz .


Dalam kenyataan media, beliau berkata ini bagi mengelakkan timbul sebarang spekulasi berkaitan keputusan berkenaan.


“PRU14 telah diadakan dalam suasana teratur dan harmoni di seluruh negara dan SPR telah melaksanakan tanggungjawab mengendalikan pilihan raya bagi menghidupkan amalan demokrasi di Malaysia.


“Justeru pihak Istana Negara meminta supaya keputusan PRU14 dapat diumumkan dengan kadar segera bagi mengelakkan timbul apa-apa spekulasi berkaitan dengannya,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]