Tun Mahathir cipta sejarah tersendiri

in Politik by


SHAH ALAM – Tun Dr Mahathir Mohamad secara rasmi dilantik menjadi Perdana Menteri ke-7 hari ini sekali gus mencipta sejarah tersendiri buat Malaysia selepas memegang jawatan nombor satu negara itu buat kali kedua.


Pengerusi Pakatan Harapan berumur 93 tahun itu juga mencipta sejarah menjadi ketua negara paling tua dilantik dalam dunia melalui proses demokrasi.


Mahathir dipilih sebulat suara sebagai Perdana Menteri oleh presiden parti dalam komponen Harapan selepas parti itu menang 122 kerusi parlimen daripada 222 kerusi yang dipertandingkan dalam PRU14.


Ahli Parlimen Langkawi itu mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang Di-pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara dalam Istiadat Angkat Sumpah Perdana Menteri ke-7, kira-kira jam 9.45 malam tadi.


Selain isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, kesemua pimpinan tertinggi Harapan yang terdiri daripada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu hadir dalam majlis tersebut.


Terdahulu kira-kira jam 5 petang, Mahathir mengadap Sultan Muhammad V selepas pihak istana menerima warkah pemakluman daripada Harapan yang memaklumkan beliau dinamakan sebagai perdana menteri.


Mahathir sebelum ini merupakan perdana menteri keempat di mana beliau memegang jawatan selama 22 tahun (1981-2003) menjadikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat.


Pada Oktober 2003, beliau melepaskan jawatan perdana menteri dan Presiden Umno. Beliau kemudiannya dianugerahkan dengan gelaran Bapa Pemodenan Malaysia.


Beliau bagaimanapun keluar Umno dan kembali aktif dalam politik dengan memegang jawatan sebagai Pengerusi Bersatu dalam misi menentang BN pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Dalam PRU14 yang diadakan pada Rabu lalu menyaksikan Harapan mencipta sejarah selepas menamatkan penguasaan Umno-BN yang memimpin negara selama lebih 60 tahun.


Negeri yang menjadi kubu kuat BN seperti Johor, Negeri Sembilan dan Melaka bertukar tangan kepada Harapan serta mereka terus mengekalkan Pulau Pinang dan Selangor. Perak dan Kedah pula kembali dirampas dalam PRU kali ini.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]