Beza empat undi paling berharga

in Edisi Terengganu by


HULU TERENGGANU – Hanya dengan empat majoriti undi, kerusi N24 Ajil yang selama ini menjadi kubu kuat BN terlepas dari genggaman setelah Pas berjaya merampasnya pada PRU14, kelmarin.


Calon Pas, Maliaman Kassim memperolehi 8,132 undi manakala penyandang kerusi berkenaan iaitu calon BN, Dr  Ghazali Taib mendapat 8,128 undi dan calon PKR, Zamani Mamat sekadar mendapat 679 undi.


Keputusan itu diumumkan secara rasmi oleh Pegawai Pengurus Pilihanraya P038, Zainal Abidin Mohamed kira-kira jam 1.15 pagi ( malam semalam) di Pusat Perjumlahan Undi P038 di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu.


Kemenangan tersebut merupakan kejayaan pertama Pas di kerusi ini kerana pada tahun 1999 lalu yang menyaksikan kebangkitan Pas di Terengganu, BN masih mampu menyelamatkan Dun Ajil dengan majoriti undi 125(calon Datuk Rosol Wahid).


Sementara itu, Maliaman ketika ditemui Sinar Harian sejurus selepas pengumuman berkata  secara peribadi kemenangan itu mengejutkan kerana dapat menumbangkan gergasi memandangkan Ajil kubu kuat BN sejak sekian lama.


“Kemenangan ini satu penghargaan kepada pengundi Dun Ajil, walaupun kemenangan tipis iaitu dengan empat majoriti undi sahaja  tetapi bagi saya ia penuh dramatik dan begitu berharga.


“Kemenangan ini sebenarnya cukup besar maknanya kerana kita dapat kurangkan majoriti undi 2,782 pada PRU13 (dimenangi BN)… dengan empat undi kita dapat ini ia telah kurangkan jumlah majoriti yang besar.


“Sebagai calon memang kita harap kejayaan dan daripada kerja keras dijalankan, kita nampak jalan menunggu kemenangan. Tentunya sesuatu yang mengejutkan sebab kita telah dapat tumbangkan gergasi (kubu kuat BN),” katanya.


Mengulas mengenai perancangan, beliau yang mesra disapa Ustaz Man berkata beliau akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu bersama rakan-rakannya bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Dun Ajil.


“Sebelum ini kita rancang untuk menang terlebih dahulu, sekarang ini Pas menang dan saya minta masa beberapa hari ini terlebih dahulu untuk saya adakan perbincangan merancang hala tuju Dun Ajil selepas ini.


“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pengundi-pengundi Dun Ajil yang telah memberi mandat kepada saya pada PRU14 kali ini. Kejayaan ini hasil usaha bersama,”  ujarnya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]