Wanita PKR tembusi kubu BN

in Edisi Selangor KL by


CALON wanita tunggal Pakatan Harapan (Harapan) Dun Pematang, Rozana Zainal Abidin tidak menyangka berjaya meraih sokongan rakyat pada PRU14 kali ini.


Rozana ketika ditemui melahirkan kesyukuran terhadap kemenangan Harapan di peringkat Dun Permatang meskipun kerusi Parlimen Tanjong Karang dan Dun Sungai Burong masih gagal ditembusi.


“Kejayaan ini berkat sokongan semua dan kerja keras jentera PKR Cabang Tanjong Karang dan saya akan berkhidmat sebaik mungkin untuk membawa perubahan untuk Dun Permatang.


Rozana meraih 9,208 undian manakala calon BN Dun Permatang, Datuk Sulaiman Abd Razak mendapat 8,050 undian.


Sulaiman gagal mengekalkan kedudukannya selepas ditewaskan Rozana dengan majoriti 1,158 undian, sementara calon Pas bagi Dun Permatang, Muhammad Jafaruddin Sheikh Daud (Pas) hanya meraih 2,746 undian.


Calon BN Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berjaya mengekalkan kerusi buat enam penggal berturut-turut meskipun berdepan pertembungan tiga penjuru pada PRU14 kali ini.


Noh yang meraih 17,596 undian itu menang dengan 1,970 majoriti manakala lawannya, calon Pakatan Harapan (Harapan), Kapten (B) Datuk Dr Zulkaferi Hanapi meraih 15,626 undian dan calon Pas, Nor Az Azlan Ahmad pula hanya 7,276 undian.


Di Dun Sungai Burong pula, calon BN, Datuk Mohd Shamsudin Lias berjaya mengekalkan kubu kuat Umno itu untuk empat penggal berturut-turut selepas meraih 8,741 undian.


Bekas pegawai daerah itu menang dengan 2,330 majoriti undian sekali gus menewaskan lawannya, Mohd Zamri Mohd Zainuldin (Pas) dengan 6,411 undian manakala Mohd Tarmizi Lazim (Harapan) hanya meraih 5,323 undian.


Pengumuman itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Tanjong Karang, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor kira-kira jam 1 pagi selepas selesai pengiraan kesemua kertas undi.


Parlimen Kuala Selangor pula menyaksikan pertembungan tiga penjuru memihak kepada Dr Dzulkefly Ahmad di bawah tiket PKR  yang mendapat 28,267 undi menewaskan calon BN, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim.


Irmohizam tewas dengan dengan majoriti 8,498 undi dengan menerima 20,636 undian manakala calon Pas, Mohd Fakaruddin Ismail mendapat undian 8,153 undi.


Bagi kerusi Dun Bukit Malawati dimenangi Juwairiya Zulkifli (PKR) dengan undian sebanyak 11,050 undi mengalahkan calon veteran BN, Jakiran Jacomah sebanyak 8,355 undi dan Cikgu Rashid (Pas) hanya sebanyak 3,261 undian.


Sementara bagi kerusi Dun Ijok, pertandingan empat penjuru dimenangi PKR, Dr Idris Ahmad sebanyak 8,501 undi mengalahkan tiga calon lain iaitu calon BN, KR Parthiban sebanyak 6,669 undian.


Diikuti calon muka baharu Pas, Jefri Mejan hanya menerima 3,072 undi dan calon PRM, T Kumaran menerima sebanyak 76 undian.


Calon PKR, Mohd Shaid Rosli menang dalam pertandingan tiga penjuru di Dun Jeram iaitu sebanyak 7,087 mengalahkan calon Pas, Mohd Noor Mohd Shahar dengan undian 4,326 undi dan calon BN, Zahar Azlan Arifin sebanyak 5,896 undi.


Pada PRU13 kerusi berkenaan dimenangi Irmohizam (BN) selepas menewaskan Dr Dzulkefly yang ketika itu bertanding atas tiket Pas.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]