Cukai tanah, pintu tidak naik

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Tiada sebarang kenaikan cukai tanah dan pintu selama tempoh lima tahun.


Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata pihaknya telah sepakat untuk memutuskan bahawa tiada sebarang kenaikan cukai akan berlaku di negeri ini.


Katanya, keperluan itu bagi membantu meringankan beban masyarakat dan tidak mahu rakyat dibebani dengan kenaikan cukai lain.


“Bagi tempoh lima tahun ini saya berjanji tiada sebarang kenaikan cukai tanah dan cukai pintu di Negeri Sembilan.


“Kadar sedia ada akan dikekalkan bagi membantu mengurangkan beban rakyat.


“Ini juga ( tiada kenaikan cukai pintu dan tanah) merupakan salah satu janji dalam manifesto Pakatan Harapan yang telah pun kita tunaikan,” katanya.


Tambahnya, rakyat tidak perlu bimbang, walau pun pentadbiran kerajaan negeri kini bertukar, tetapi misi dan matlamat untuk membantu mensejahterakan rakyat serta membangunkan Negeri Sembilan tetap akan diteruskan.


Sementara itu, Aminuddin berkata setakat tempoh ini, pihaknya memutuskan agar tiada sebarang potongan gaji dilakukan kepada barisan exco.


Katanya, gaji yang diterima barisan exco di negeri ini adalah pada paras sederhana, tidak terlalu tinggi berbanding negeri lain.


“Buat masa ini saya rasa tiada keperluan lagi untuk kita potong gaji barisan exco mahu pun kepimpinan tinggi yang lain, kerana gaji yang diterima adalah diparas sederhana.


“Kalau potong nanti kita bimbang ia tidak mencukupi dan boleh menyebabkan berlakunya perkara lain nanti,” katanya.


Terdahulu, Penasihat Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim  meminta supaya semua exco di negeri yang ditadbir Pakatan Harapan memotong gaji bagi membantu memulihkan hutang negara.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]