Konsep satu malam satu masjid

in Edisi Terengganu by


KUALA BERANG – Ramadan kali ini pastinya memberikan senario berbeza buat Adun Ajil, Maliaman Kassim yang menyambut dan melalui perjalanan bulan puasa sebagaiĀ  wakil rakyat buat pertama kalinya.


Mengakui baharu sekali sahaja sempat berbuka bersama keluarga dalam tempoh dua minggu Ramadan ini, beliau berlapang dada kerana separuh kehidupannya kini adalah bersama rakyat.


Berkongsi cerita, Maliaman berkata, dia gunakan pendekatan ‘satu malam satu masjid’ untuk solat tarawih bagi membolehkannya beliau dampingi rakyat di kampung-kampung dalam Dun Ajil.


“Tidak dinafikan perjalanan Ramadan ini begitu berbeza, kalau dulu waktu berbuka banyak di rumah. Solat tarawih pula cuma di surau di Kampung Pela ataupun di Masjid Bukit Diman kerana bertugas sebagai imam.


“Ramadan kali ini banyak dapat undangan berbuka puasa terutamanya pihak masjid dalam Dun Ajil. Biasanya saya pergi yang jemput lebih awal, jemputan lain akan diwakili seseorang.


“Bagi solat tarawih pula, saya pusing ke masjid seluruh kampung, ‘satu malam satu masjid’. Saya akan cuba santuni masyarakat di keseluruhan kampung sepanjang Ramadan ini,” katanya kepada Sinar Harian.


Tambah beliau, peluang berbuka puasa atau tarawih bersama orang kampung satu ruang masa terbaik untuk dirinya untuk lebih dekat dengan rakyat yang telah berikannya mandat sebagai Yang Berhormat Ajil pada PRU14 lalu.


Katanya, bagi menghargai dan ucapan terima kasih kepada semua pihak sekaligus memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri nanti, beliau juga akan turut adakan Majlis Sambutan Hari Raya yang dijadualkan pada 3 Syawal.


Sementara itu, untuk rekod pada PRU14 lalu, Maliaman memenangi kerusi yang merupakan kubu kuat BN itu dengan kelebihan empat majoriti undi.


Maliaman yang merupakan calon muka baharu mendapat 8,132 undi, manakala penyandang, Dr Ghazali Taib (BN) menerima undian 8,128 dan calon PKR, Zamani Mamat memperolehi undian 679.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]