Lelaki warga Indonesia ditemui mati

in Edisi by


JELI – Seorang lelaki warga Indonesia ditemui mati dalam kejadian di Kampung Dalam Reka, Chegar Bedil di sini, kelmarin.


Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Mohd Yusoff Jaafar berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa dikenali sebagai Tarmizi, 43, (berdasarkan pasport yang ada bersamanya) ditemui tidak sedarkan diri oleh penduduk kampung yang kebetulan melewati kawasan berkenaan.


“Difahamkan, kira-kira jam 12 tengah hari mangsa dikatakan menahan kereta penduduk kampung yang melalui kawasan berkenaan.


“Ketika itu mangsa dikatakan dalam keadaan lesu, dia dibawa ke bangsal berhampiran untuk berehat sebelum ditinggal di situ,” katanya kepada media di sini.


Menurutnya, penduduk kampung berkenaan kemudian meneruskan perjalanan untuk mengutip getah skrap di kebun getah berhampiran.


“Bagaimanapun ketika keluar dari kebun getah berkenaan, mereka tergerak hati untuk melihat keadaan mangsa sebelum mendapati mangsa tidak sedarkan diri,” katanya.


Menurutnya, penduduk berkenaan kemudian keluar mendapatkan bantuan di Klinik Kesihatan Kuala Balah dan melaporkan kejadian kepada pihak polis.


Mohd Yusoff berkata, pihaknya mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut.


“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jeli untuk bedah siasat,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]