Siapkan jambatan gantian Sungai Plentong ikut jadual

in Edisi Johor by


PASIR GUDANG – Projek pembinaan jambatan gantian Sungai Plentong, Jalan Masai Lama, di sini, diminta untuk disiapkan sepenuhnya mengikut jadual yang ditetapkan bagi memastikan tiada lagi tundaan projek seperti sebelum ini.  


Adun Johor Jaya, Liow Cai Tung berkata, ekoran daripada pembinaan yang tertangguh itu, pihaknya telah menerima pelbagai aduan daripada penduduk setempat terutamanya berhubung isu kesesakan jalan raya yang serius.  


Menurutnya, pihaknya turut meminta kontraktor dilantik untuk menyediakan lampu tambahan di beberapa laluan projek terbabit, berikutan timbul aduan pengguna jalan raya mengenai keadaan jalan gelap dan membahayakan.


“Melalui pertemuan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor telah saya maklumkan kepada kedua pihak ini apa masalah yang sering dihadapi orang awam. Jadi saya minta tindakan susulan dapat dibuat.  


“Ia adalah termasuklah penambahan lampu jalan sementara sepanjang projek dilaksanakan kerana ia melibatkan keselamatan pengguna. Isu di jambatan ini adalah sebab kelewatan daripada kontraktor di mana sebenarnya projek ini harus siap pada Februari tetapi ditangguh kepada Ogos.


 “Jadi dalam masa dua bulan ini saya harap kontraktor dapat siapkan projek dalam masa tangguhan ini lah, bagi saya yang paling penting tidak kira apa projek dijalankan aspek keselamatan perlu diberi perhatian,” katanya kepada pemberita ketika melawat tapak projek berkenaan, di sini, semalam. Hadir sama, Adun Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh dan Pengarah JKR Johor, Ir Mohamad Salleh Abu Bakar.


Cai Tung berkata, amaran tindakan denda yang akan diambil juga telah dimaklumkan kepada kontraktor dan pihak bertanggungjawab sekiranya mereka tidak menyiapkan projek dalam masa yang ditetapkan.


“Kontraktor juga telah berjanji untuk tambah lampu dan akan segera melakukan pembinaan mengikut tempoh ditetapkan, amaran juga telah diberikan kepada pihak mereka.  


“Kalau tidak disiapkan dalam masa ditetapkan, kontraktor akan dikenakan denda iaitu RM5,234 setiap hari bermula daripada tarikh wajar ditetapkan iaitu 17 Ogos,” katanya.  


Untuk rekod, projek membina jambatan konkrit sepanjang 40 meter itu difahamkan pihak kontraktor terpaksa melalui kelewatan berikutan beberapa faktor.


Antaranya adalah membabitkan isu kekurangan tenaga kerja, pemindahan utiliti terutamanya kabel elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan juga kemudahan syarikat-syarikat telekomunikasi yang terdapat di sepanjang laluan tersebut.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]