PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

May 2018 - page 2

Usah layan desakan bubar Jakim

in Edisi Utara by


ALOR SETAR – Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Kedah memandang serius berkaitan isu dibangkitkan pihak tertentu supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dimansuhkan.


Pengerusi Ummah Kedah, Noor Hakimi Ab Halim berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa ada pihak tertentu mendesak kerajaan membubarkan Jakim kononnya demi kesejahteraan rakyat.


Katanya, pihak terbabit turut mempertikaikan peruntukan dana awam bagi membiayai kos penguatkuasaan agama Islam, selain menuntut operasi membendung kegiatan khalwat dihentikan kerana dikatakan bercanggah dengan hak asasi manusia dalam konteks masyarakat liberal.


“Bagi Ummah Kedah, desakan dan tuntutan pihak berkenaan adalah tindakan melampau, bersifat ancaman dan mempersoalkan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam bagi Persekutuan dan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama bagi negeri-negeri.


“Dengan ini, ia sekali gus menyentuh perkara sensitiviti umat Islam yang merupakan penduduk majoriti di negara ini. Malah, pihak berkenaan seolah-olah memperkecilkan peruntukan yang terkandung di dalam Perlembagaan Malaysia,” katanya.


Noor Hakimi berkata, kedudukan Raja-Raja sebagai ketua agama di negeri dijelaskan melalui Perkara 3(1), manakala Perkara 3(2) Yang di-Pertuan Agong adalah adalah ketua agama Islam bagi Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.


Katanya, berdasarkan Perkara 3(5) juga menyatakan bahawa bagi Wilayah Persekutuan, Parlimen boleh membuat undang-undang berhubung hal ehwal Islam dan menubuhkan suatu majlis bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong.


Menurutnya, tindakan kerajaan persekutuan atau negeri memperuntukkan sebarang perbelanjaan untuk Islam juga adalah sah berdasarkan Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan.


Sehubungan itu, katanya, Ummah mengingatkan pihak tertentu supaya tidak mencampuri urusan hal ehwal umat Islam yang merupakan agama rasmi persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan.


“Bagi Ummah, Jakim adalah agensi kerajaan yang penting dalam mengurus hal ehwal Islam di peringkat persekutuan tanpa sama sekali mencampuri urusan agama lain yang bebas diamalkan di negara ini,” katanya.


Tambahnya, tindakan ancaman yang melampau tersebut bakal mengundang rasa gelisah dalam kalangan umat Islam serta mengganggu keharmonian dalam kehidupan masyarakat majmuk di negara ini.


“Jadi, kami mengajak seluruh umat Islam merentasi sempadan politik serta status quo dalam masyarakat, agar bersatu mempertahankan institusi agama Islam yang wujud di negara ini dari pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.


Hakim berkata, kerajaan baharu Pakatan Harapan diminta supaya lebih peka dan tidak melayan sebarang tuntutan ataupun desakan daripada mana-mana pihak yang bertujuan meruntuhkan institusi agama Islam serta hal ehwal berkaitan agama Islam di negara ini.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]

'Kuasa udara, tonggak kedaulatan negara'

in Nasional by


SUBANG – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), segagah namanya. Sejitu fungsinya  mempertahankan ruang angkasa dan kedaulatan negara menyambut hari ulang tahun ke-60, hari ini dengan bertemakan ‘kuasa udara, tonggak kedaulatan negara’.


Panglimanya, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata,  tema  ‘kuasa udara, tonggak kedaulatan negara’ dipilih kerana ia mudah difahami dan dihayati oleh warga TUDM  di mana untuk mempunyai kuasa padu, setiap warganya harus sentiasa bersatu serta sepakat demi mencapai misi dengan ditunjangi kemahiran juruterbang dan kebolehan aset- aset terkini milik TUDM.  


“Slogan ini amat relevan untuk menentukan warga TUDM  memahami dasar fungsi TUDM dan kenapa mereka perlu berada di TUDM. Apakah tugas mereka dan mengapa tugas mereka sangat penting, ” katanya dalam satu wawancara khas bersama media di Pangkalan TUDM Subang sempena ulang tahun TUDM ke-60, hari ini.


Seperti biasa, sambutan hari ulang tahun ini  juga pastinya dimeriahkan pelbagai program melibatkan TUDM dan jerayawara terbuka yang diadakan di semua pangkalan TUDM dengan menyasarkan usaha padu mendekatkan rakyat kepada agensi pertahanan udara tersebut.


“Ini bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk mengetahui  mengenai TUDM,  apa yang kita ada (aset TUDM) sekali gus mahu rakyat memahami tugas TUDM dan tujuan perbelanjaan wang yang digunakan untuk  TUDM,” jelasnya.  


Untuk rekod, beberapa acara menarik berbentuk ketenteraan seperti istiadat perbarisan bersama panji-panji skuadron antara yang diadakan sempena ulang tahun TUDM.


Agensi pertahanan ini sememangnya sentiasa melindungi dan memajukan kepentingan negara menerusi penyediaan dasar strategik udara, pembangunan, ‘delivery’ dan perlindungan terhadap ketenteraan, perisikan dan ‘enabling capabilities’ serta mengutamakan keselamatan, kestabilan serantau serta global.


“Pertahanan, kuasa udara boleh atau senang digugat, jadi dengan adanya  kelebihan pada kuasa udara kita akan memberi kita satu lonjakan atau kelebihan untuk mempunyai ‘output’ yang jauh. Ini adalah antara perkara penting mengapa kita perlu mempunyai kuasa udara  mantap.


“Selain daripada  itu, pemahaman mengenai kuasa udara ini bukan sekadar difahami sebagai sesuatu yang memerlukan bajet atau perbelanjaan tinggi. Itu tidak semestinya kerana yang penting adalah perancangan dan bagaimana mahu menginterpretasikan perancangan tersebut serta bagaimana  kita mahu mempunyai ‘sustainability’ dari segi penyelenggaraan dan latihan yang efektif,” katanya.


Sehubungan itu  tegas  Affendi, untuk mempunyai kuasa udara yang mantap semua perkara tersebut perlu disinergikan supaya memperoleh hasil yang besar kerana tugas memantapkan kuasa udara ini memang memerlukan sistem efektif.


Antara pelan transformasi dalam menjadikan pasukan TUDM ke aras yang cemerlang adalah pelan pembangunan TUDM hingga 2055, mengekalkan keupayaan untuk melaksanakan eksasais dan operasi bergabung, berkebolehan bergabung dengan aset aset Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia dan agensi kerajaan lain serta bukan kerajaan supaya tugas -tuga operasi, latihan kecemasan dan bukan kecemasan dapat menyumbang kepada kepentingan nasional serta penekanan kepada aspek ‘effect based operation’ dan ‘revolution military affairs’ di mana memerlukan penggunaan jenis aset yang optimum, mengikuti perkembangan teknologi semasa dan mencapai ‘operational outcomes’ secara berkesan.


Mengenai penyusunan aset operasi TUDM, Affendi berkata, perkara yang perlu dinilai adalah mengenai apa yang TUDM miliki sekarang dan apa keperluan TUDM pada masa depan yang pastinya berkait dengan kemampuan sumber kewangan negara sama ada kita mampu membeli aset baharu dan kemampuan untuk memastikan aset itu sentiasa dalam keadaan baik.  


“Aset yang kita ada sekarang ini rata-ratanya sudah menjangkau usia lebih 20 tahun dan memerlukan penaiktarafan.


“Isu aset ini perlu ditangani kerana ia perlukan peningkatan taraf sama ada menukar alat ganti. Jika tidak ia  menyebabkan kos selenggara tinggi ,” ujarnya.


Pada masa sama kata Affendi, tidak guna jika membeli sesuatu aset berkeupayaan tinggi tetapi akhirnya kita tidak mempunyai keupayaan untuk menyelenggara secara efektif ke atas aset tersebut, jika tidak ia boleh menimbulkan isu serta konfkik terhadap keupayaan  pesawat TUDM.


Dalam pada itu katanya, dalam usaha menentukan kuasa udara pada tahap diperlukan, keperluan  aset yang cukup dan tahap kemahiran juruterbang berasaskan latihan yang tinggi adalah penting.


Ironinya, pembelian aset TUDM juga adalah berdasarkan bajet tahunan yang diperuntukkan oleh kerajaan dan pastinya TUDM membuat penilaian terhadap keperluan aset itu terlebih dahulu pada masa sama mengutamakan kepakaran juruterbang tidak menurun.


Menyentuh mengenai usia pesawat TUDM Affendi menyatakan, antara pesawat berusia bawah 20 tahun dimiliki TUDM sekarang ini adalah seperti  A400, EC75 dan pesawat Sukhoi manakala pesawat lain seperti F-18 (Hornet) sudah dilakukan selenggara,  pesawat Hawk dan C-130 (Hercules) memerlukan peningkatan taraf.


Manakala Nuri yang sudah berusia  50 tahun, walaupun dari segi komponen masih baik, namun memandangkan usia pesawat itu sudah lama, penggunaannya masih menjadi isu.


Lihat,  kekuatan pesawat TUDM bersama  juruterbang terlatih bukanlah sesuatu yang boleh dipandang sepi.


Seperti dialog dalam sebuah filem Melayu berjudul Wira Angkasa, ‘menguasai udara hingga akhirnya menjadi wira angkasa’ maka di sinilah juga relevannya ‘kuasa udara, tonggak kedaulatan negara’. Selamat hari jadi TUDM!


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

Umur 12 tahun dah galas tugas ibu

in Edisi by


KOTA BHARU – Tatkala rakan sebayanya seronok menantikan juadah air tangan ibu, kanak-kakak 12 tahun ini sibuk di dapur memasak sendiri lauk-pauk sahur dan berbuka untuk bapa serta adiknya.


Rutin harian Nor Atikah Maisarah Mohd Saidi makin mencabar ketika Ramadan lebih-lebih lagi selepas mereka mengalami kemalangan jalan raya hingga menyebabkan bapanya, Mohd Saidi Mohd Noor, 51, sukar bergerak, rabun dan kadang kala gagal mengingati sesuatu perkara.


Mohd Saidi berkata, dalam kejadian lalu, motosikal ditunggang bersama Nor Atikah Maisarah dan seorang lagi anaknya, Nor Atikah Waheeda, 10, terbabas dan terjatuh ke dalam longkang selepas mengambil mereka pulang dari Sekolah Kebangsaan Mentuan.


“Masa itu saya hanya dengar anak jerit minta tolong untuk bawa saya keluar dari longkang dengan hidung yang berdarah.


“Sehingga kini, saya alami kebas pada kaki dan tangan selain penglihatan kabur dan banyak kali lupa sesuatu perkara, namun mujurlah anak-anak saya selamat dari sebarang kecederaan,” katanya ketika menerima kunjungan Team Kita Kongsi Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) dan Hotel Grand Riverview (GRV) di rumahnya di Kampung Gertak Kechupu, Binjai, semalam.


Hadir sama, Pengarah Syarikat GRV Hotel, Gan Yeong Shuoh; Pengarah Jualan dan Pemasaran GRV, Raja Rusmin Datuk Raja Mahmud; Timbalan Presiden Kemudi, Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi; Penggawa Sering, Sabari Abdul Rashid; Penasihat Info Semasa Kubang Kerian, Rosnani Seman dan Pengarah Tourism Malaysia Kelantan, Hafiz Hazin.  


Dalam kunjungan itu, mereka turut menyerahkan sumbangan makanan dan wang tunai kepada keluarga Mohd Saidi.

Mohd Saidi dan keluarganya menerima kunjungan ramai selepas kisahnya dikongsi pengguna laman sosial.


Mohd Saidi berkata, dia mempunyai seorang lagi anak perempuan berusia 22 tahun, namun sudah berkahwin dan menetap di Terengganu.


Menurutnya, dia dan isteri berpisah kira-kira enam tahun lalu dan sejak itu, Nor Atikah Maisarah yang banyak membantu meringankan kerja di rumah seperti memasak dan membasuh pakaian.


“Dulu saya kerja buruh, sekarang sudah tidak bekerja kerana masalah kesihatan yang tidak menentu.


“Makan minum harap ihsan dan belas kasihan daripada saudara mara dan jiran yang bersimpati. Saya sangat berterima kasih kerana ramai yang datang membantu kami,” katanya.


Atikah Maisarah pula berkata, dia pandai masak ayam goreng kicap yang diajar bapanya dan lauk itu kebiasaannya menjadi juadah mereka sekeluarga untuk sahur serta berbuka.


“Saya akan bangun jam 4 pagi untuk memasak dan kalau ada lauk lebih masa berbuka, saya akan panaskan sebelum kejutkan ayah dan adik.


“Ayam biasanya saya dan adik akan keluar beli di kedai tepi jalan tak jauh dari rumah. Kalau tak ada lauk kami makan budu dan masak apa-apa sahaja yang ada di rumah macam telur dan nasi kosong,” katanya.


Katanya, persiapan hari rayanya kali ini hampir lengkap apabila guru yang mengajarnya bermurah hati menyumbangkan dua baju kurung kepadanya dan sepasang kepada adiknya.


“Cuma kami masih tidak ada tudung dan kasut baru lagi untuk raya ini,” katanya.


Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh salurkan sumbangan ke akaun Bank Rakyat, 22-105-134880-6.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]

Zeti terima anugerah William Bill Seidman

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, diberikan pengiktirafan dengan menerima Anugerah William “Bill” Seidman bagi Pencapaian Sepanjang Hayat Kepimpinan dalam Industri Perkhidmatan Kewangan 2018 sempena Sidang Kemuncak Masa Depan Kewangan 2018 anjuran The Asian Banker.


The Asian Banker, berpangkalan di Singapura menjalankan aktiviti terutamanya penerbitan, forum dan perkhidmatan penyelidikan, merupakan penyedia paling berwibawa di rantau ini bagi kepintaran perniagaaan strategik kepada komuniti perkhidmatan kewangan.


Dalam kenyataan hari ini, The Asian Banker berkata, anugerah diberikan pada majlis yang berlangsung di Aman Summer Palace di Beijing, China itu adalah untuk mengiktiraf pencapaian dan sumbangan sepanjang hayat Zeti dalam membentuk BNM menjadi pihak berkuasa pengawalseliaan yang bebas dan dihormati serta pembangunan industri perkhidmatan kewangan di Malaysia.


“Beliau merupakan antara pengawal selia bank yang paling dihormati dari Asia dan beliau ialah wanita pertama berkhidmat sebagai gabenor bank pusat di Malaysia selain individu kedua paling lama berkhidmat, iaitu selama 16 tahun sejak 2000 sehingga persaraannya pada 2016,” menurut The Asian Banker. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

Lapor segera kes keracunan, makanan tercemar

in Edisi by


MACHANG – Lapor segera kes keracunan atau makanan tercemar kepada pejabat kesihatan daerah untuk tindakan segera sekali gus mengelakkan kejadian yang sama berulang.


Pegawai Kesihatan Daerah Machang, Dr Ahmacd Faris Awang berkata, orang ramai dilihat lebih suka berkongsi kes seumpama itu di media sosial berbanding membuat laporan kepada pihak berwajib.


Menurutnya, pihaknya memandang serius kes itu dan mengalu-alukan kerjasama orang ramai bagi sama-sama memastikan tiada kes seumpamanya berlaku terutamanya membabitkan bazar Ramadan.


Bagaimanapun katanya, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Machang belum menerima sebarang laporan kes keracunan atau peniaga menjual makanan basi dan sebagainya.


“Orang ramai diminta membuat laporan secepat mungkin kepada PKD Machang sekiranya didapati berlaku perkara demikian agar tindakan lanjut dapat diambil.


“Bermula 22 Mei lalu, Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan, PKD Machang telah menjalankan operasi pemeriksaan bazar Ramadan di jajahan ini bagi memastikan premis makanan yang beroperasi mematuhi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang ditetapkan,” katanya, di sini, hari ini.


Operasi tersebut turut dijayakan Majlis Daerah Machang, Pejabat Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).


Selain memastikan tahap kebersihan dan keselamatan makanan dipertingkatkan dari semasa ke semasa, kempen turut dilaksanakan melalui hebahan, pameran, taklimat dan edaran risalah.


Dr Ahmad Faris berkata, sebanyak 203 premis makanan (bazar Ramadan) telah diperiksa dan 10 sampel makanan (minuman, makanan berisiko tinggi, makanan separuh masak) diambil untuk analisis mikroorganisma dan kimia.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]

KTMB sedia tren tambahan sempena Aidilfitri

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan enam perkhidmatan tren elektrik (ETS) berserta 19,800 tiket tambahan yang akan dibuka pada 4 Jun ini (Isnin), mulai 10 pagi sempena Hari Raya Aidilfitri ini.


Menurut kenyataan KTMB hari ini, tambahan tiket tersebut adalah untuk tarikh perjalanan bermula 12 hingga 14 Jun dan 17 hingga 24 Jun ini.


“Tiket dibuka pada 11 Mei lalu habis dijual khususnya pada tarikh sebelum dan selepas Hari Raya Aidilfitri. KTMB mengambil inisiatif mengadakan tren tambahan bagi memenuhi permintaan penumpang dan memberi kemudahan pengangkutan kepada orang ramai yang akan pulang ke kampung halaman,” kata kenyataan itu.


Tiket boleh dibeli di kaunter KTMB atau secara dalam talian menggunakan e-Ticket, aplikasi telefon pintar (KTM MobTicket) serta ejen KTMB yang berdaftar.


Untuk mendapat jadual lengkap, sila rujuk jadual yang dipamerkan di laman sesawang KTMB, www.ktmb.com.my atau stesen-stesen berhampiran.


KTMB juga ingin menasihatkan orang ramai untuk menyemak butiran tiket masing-masing sebelum meninggalkan kaunter.


Bagi sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-22671200. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

Mat Sabu sebak kenang pengorbanan warga ATM

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan Mohamad Sabu tidak dapat menahan kesedihan apabila mengenangkan pengorbanan pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terpaksa meninggalkan isteri dan anak-anak mereka demi tugasan di perbatasan negara bersempena Aidilfitri ini.


Beliau sebak ketika sedang berucap pada majlis penyampaian sumbangan bungkusan Aidilfitri untuk Anggota ATM di Auditorium Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.


“Kita kenangkan ini kerana tentera kita berada di perbatasan negara menjalankan tugas untuk kepentingan dan keselamatan negara… oleh itu, pengorbanan perajurit ini hendaklah disanjung oleh semua pihak.


“Para perwira dan perajurit kita akan terus bertugas dengan mengetepikan kepentingan diri dan keluarga walaupun dalam suasana hari raya yang bakal kita sambut tidak lama lagi,” katanya.


Suasana dalam dewan yang sebelum itu penuh dengan gelak tawa dengan reaksi spontan Mohamad yang berucap menjadi senyap apabila warga ATM yang hadir melihat beliau sebak.


Sebelum itu juga, Mohamad turut mencuit hati warga ATM apabila buat pertama kali berucap mengikut teks ucapan rasmi majlis itu yang disediakan apabila beliau secara berseloroh berkata “dulu biasa ceramah, pakai teks payahlah. Empat puluh tahun ceramah tanpa teks”.


Terdahulu, sebanyak 48 agensi yang terdiri daripada badan korporat, badan berkanun, syarikat swasta dan persatuan sukarela menyumbang bungkusan Aidilfitri kepada ATM yang keseluruhannya bernilai RM1.6 juta.


Selain itu, ATM juga menerima wang zakat antaranya daripada Lembaga Tabung ATM sebanyak RM575,000 dan Koperasi ATM Berhad RM350,000.


Turut hadir majlis itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, Panglima ATM Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zulkiple Kassim, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Affendi Buang. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

Pesawat mendarat cemas gara-gara bau badan

in Global by


MADRID – SEPANYOL. Sebuah pesawat Transavia yang dalam perjalanan menuju ke pulau peranginan Gran Canaria terpaksa melakukan pendaratan cemas, gara-gara salah seorang penumpangnya mengeluarkan bau badan yang teramat busuk.


Situasi tidak menyenangkan itu menyebabkan penumpang lain yang duduk berhampiran lelaki tersebut jatuh sakit dan muntah.


Difahamkan, beberapa penumpang mula muntah sebaik pesawat Boeing 737 itu berlepas dari Lapangan Terbang Schiphol di Belanda.


Kakitangan Transavia dilaporkan terpaksa menguarantinkan lelaki tersebut di dalam tandas pesawat sebelum melakukan pendaratan cemas di Faro di selatan Portugal.


Sebaik mendarat, lelaki tersebut dikeluarkan dari pesawat sambil diiringi pegawai perubatan.


Sementara itu, seorang penumpang warga Belgium, Piet van Haut berkata dia dan penumpang lain bagaikan berada di neraka sepanjang penerbangan.


“Dia seperti tidak mandi selama beberapa minggu, sehingga membuatkan penumpang lain jatuh sakit dan pengsan,” katanya.


Dalam pada itu, Transavia mengesahkan pendaratan kecemasan tersebut dan mengatakan ia disebabkan oleh “faktor perubatan”.


Jurucakap Transavia berkata: “Pesawat itu dilencongkan kerana sebab-sebab perubatan, tetapi memang betul dia berbau sedikit.” – mirror.co.uk


Source: SH Global

[featured-video-plus]

Pengedar dadah diberkas

in Edisi by


TELUK INTAN – Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak dalam satu serbuan, kelmarin.


Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, serbuan dilakukan pada jam 10.45 pagi di sebuah rumah di Taman Orkid, Batu 12, di sini.


Katanya, lelaki yang ditahan itu berusia lewat 20-an adalah warganegara tempatan.


“Dalam serbuan itu, kita telah merampas beberapa paket plastik lutsinar disyaki berisi dadah heroin, anggaran berat 397 gram dan beberapa plastik lutsinar disyaki berisi dadah methamphetamine, anggaran berat 87 gram.


“Tangkapan (suspek) dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah lebih kurang sebulan,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.


Katanya, ketika tangkapan dibuat, tiada sebarang pergelutan dan mangsa ketika itu berseorangan sedang berehat.


Mohd Marzukhi berkata, suspek juga mempunyai satu rekod lampau kes jenayah serta ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan amphetamine.


“Suspek telah direman sehingga 4 Jun dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang boleh dikenakan Hukuman Mati Mandatori atau Penjara Seumur Hidup dan Sebat sekiranya tidak dikenakan hukuman mati,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]

Jamal Yunos loloskan diri ke Indonesia?

in Nasional by


KAJANG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meminta bantuan pihak berkuasa Indonesia bagi memburu Datuk Seri Jamal Md Yunos, ujar Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Ia berikutan katanya, Ketua Umno Sungai Besar itu didakwa telah melarikan diri ke negara republik itu.


Pada masa sama, Muhyiddin menolak rayuan Jamal untuk mendapatkan jaminan perlindungan.


“Apa nak berlindung apa, dia tahu dia buat salah, lepas itu dia lari, saya sedang minta Ketua Polis Negara untuk memburu beliau, katanya dia berada di Indonesia, jadi kita akan minta kerjasama dari pihak polis di sana, cari beliau bawa ke sini.


“Apa pun kalau ada apa-apa kesalahan yang beliau lakukan, saya serah kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sesuai dengan undang-undang yang ada,” katanya semasa ditemui media selepas Program Penerapan Nilai-nilai Murni di Bulan Ramadan di Masjid Jabatan Penjara Malaysia, Kajang.


Jamal pada Rabu gagal menghadirkan diri ke IPD Ampang Jaya bagi memberi keterangan kepada polis susulan dakwaan melarikan diri sebelum proses ikat jamin selesai.


Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu kemudian memuat naik rakaman video yang memperlihatkan dirinya berada di sebuah ladang kelapa sawit. – Astro Awani


ARTIKEL BERKAITAN: http://www.sinarharian.com.my/nasional/lebih-40-jam-jamal-belum-serah-diri-1.839527


ARTIKEL BERKAITAN: http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/dah-seminggu-tak-nampak-jamal-balik-1.839483


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

Kembali UTAMA