PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Bibi Ramjani Ilias Khan disaran mencari formula terbaik bagi menyelamatkan masa depan The Red Warriors (TRW) yang dilihat semakin hampiri zaman kejatuhan, ketika ini.
Bekas Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, sesuatu perlu dilakukan segera memandangkan pasukan pantai timur itu sudah hilang karakter dan imej sebenar selaku antara pencabar dalam pentas bola sepak negara sejak beberapa musim lalu.
“Tapi kita masih belum terlambat. Pengurusan Kafa kena memastikan TRW tidak tersingkir ke Liga Perdana kerana pasukan ini dibina oleh saya menjadi satu jenama di Liga Super.
“Untuk itu, kita mesti berfikiran positif dan saya sentiasa berkeyakinan orang Kelantan pasti lebih berjaya kalau kita bersatu, tolong-menolong dan bukannya untuk menjatuhkan (TRW),” katanya dipetik menerusi laman Facebook miliknya, hari ini.
Sebagai individu yang pernah memimpin Kafa selama 10 tahun, Annuar berkata, beliau mengambil inisiatif menghubungi pengurusan bagi memberi sokongan selepas melihat prestasi semasa pasukan bola sepak negeri itu tidak begitu menggembirakan.
“Saya sekadar mahu lihat TRW bangkit semula tetapi saya tentunya tak boleh masuk campur (urusan Kafa), sekadar membantu dan memberi dorongan sahaja,” katanya.
Dalam entri berkenaan, beliau turun menasihati Kafa agar segera membawa masuk penyerang import yang bagus dan mampu menjadi mesin gol pasukan bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia musim ini
“Jentera tengah yang kreatif amat diperlukan oleh Kelantan ketika ini. Pemain junior yang terlalu ramai masih memerlukan tonggak berpengalaman sebagai tulang belakang pasukan.
“Macam sekarang Kelantan lebih banyak bermain menggunakan tenaga, tapi kurang menggunakan kepala (berfikir mencipta gerakan serangan) dan perkara ini perlu diperbaiki segera,” katanya.
Source: SH Sukan
[featured-video-plus]