Hukum wakil tidak sependapat bukan amalan BN

GEORGETOWN – BN Pulau Pinang tidak mengamalkan cara pemerintahan tidak adil terhadap ahli-ahlinya walaupun berbeza pendapat tentang sesuatu perkara.
Pengerusinya, Teng Chang Yeow berkata, pemerintahan BN di peringkat nasional mahu pun negeri tidak pernah menghukum wakil partinya yang mengkritik kepimpinan parti itu kerana mengamalkan konsep keterbukaan.
“Kita tidak menghukum wakil dari parti yang mengkritik cara kepimpinan kita. Lihat Ahmad Husni (Hanadzlah) yang kembali menjadi calon, walaupun beliau pernah mengkritik cara kepimpinan parti, tetapi BN tak pernah menghukumnya.
“Sememangnya, BN tidak pernah mengamalkan cara pemerintahan dengan menghukum wakil kita yang dipilih. Ini kerana, mereka mewakili suara rakyat. Jika kita hukum mereka, maka suara rakyat akan tersekat dan menyebabkan rakyat menderita,” katanya.
Tambahnya, pemerintahan Harapan dan BN amat berbeza kerana BN lebih mementingkan kepentingan rakyat berbanding Harapan yang akan menyingkirkan sesiapa sahaja yang tidak sependapat dengan kepimpinan tertinggi mereka.
Dalam perkembangan lain, Chang Yeow meminta kerajaan negeri mendedahkan jumlah projek pembangunan lereng bukit berisiko yang diluluskan sehingga kini di negeri ini.
Menurutnya, keselamatan rakyat perlu diutamakan berikutan semakin banyak projek di kawasan sensitif alam sekitar dibangunkan khususnya di kawasan Tanjung Bungah.
“Saya sekali lagi mengulangi bahawa BN akan membatalkan semua projek berdensiti tinggi iaitu melebihi kecerunan 25 darjah di negeri ini. Ia akan memberi risiko kepada rakyat jika berlaku kejadian tidak diingini.
“Pencerobohan kawasan hutan dan bukit bagi tujuan pembangunan di negeri ini khususnya di kawasan Tanjung Bungah semakin serius dan kritikal yang mana, ia perlu diselamatkan. Jika kita menang, kita akan memastikan tidak ada campur tangan politik dalam garis panduan pembangunan di lereng bukit sehingga menyebabkan banyak kawasan berisiko alam sekitar diceroboh,” katanya.
Source: SH Edisi Utara
[featured-video-plus]