Gesa Harapan realisasi pembangunan Parit Buntar

PARIT BUNTAR – Umno bahagian Parit Buntar menggesa kerajaan Harapan merealisasikan pembangunan di Parlimen itu pada tahap optimum, selaras dengan kejayaan perlantikan dua Exco Kerajaan Negeri dan seorang bakal menteri dipilih dari Parlimen dan Dun di sini.
Calon Ketua Umno Bahagian Parit Buntar, Datuk Abu Bakar Md Ali berkata, pihaknya mengucapkan tahniah kepada Adun Titi Serong, Husnul Zulkarnain Abd Muniam dan Adun Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari kerana dilantik sebagai Exco Kerajaan negeri penggal ini.
Menurutnya, perlantikan mereka dan juga Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang dijangka bakal dilantik menteri Kabinet oleh kerajaan Harapan sebenarnya berita gembira yang boleh dibanggakan rakyat Parlimen ini.
“Namun begitu, apabila sudah mempunyai wakil kanan kerajaan negeri dan Pusat, seharusnya kerajaan Harapan membuktikan mereka boleh melaksanakan agenda pembangunan lebih baik berbanding kerajaan terdahulu.
“Sebenarnya, dahulu pun kerajaan negeri BN sudah merencana pelbagai idea untuk pembangunan namun tidak sempat dilaksanakan berikutan kekangan kewangan.
“Jadi, dengan kerajaan baharu di mana wakil rakyat kita memainkan peranan langsung di peringkat negeri dan Pusat, saya berharap mereka benar-benar melaksanakan agenda pembangunan mampan dan tidak bersikap retorik,”katanya sewaktu ditemui pada mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Parit Buntar di Dewan Ramli Ngah Talib, di sini semalam.
Sementara itu, pertandingan pemilihan jawatan Ketua Umno Bahagian Parit Buntar menyaksikan Abu Bakar sebagai penyandang dicabar bekas Pengerusi Bernama, Tan Sri Abdul Rahman Sulaiman.
Bagaimanapun, jawatan Timbalan Ketua Umno bahagian itu menyaksikan bekas calon BN Dun Kuala Kurau pada PRU14, Shahrul Nizam Razali menang tanpa bertanding setelah penyandang jawatan itu, Abdullah Salleh mengumumkan penarikan diri pagi tadi.
Pertandingan jawatan Naib Ketua Umno bahagian Parit Buntar bakal menyaksikan pertembungan sengit di antara bekas Ketua Pemuda Umno bahagian itu, Mu’ammar Ghadafi Jamal Jamaluddin dengan bekas Ahli Jawatankuasa(AJK) Umno bahagian, Asman Ibrahim.
Dalam pada itu, Shahrul Nizam sewaktu dihubungi menjangkakan keputusan penuh pemilihan jawatan peringkat Umno bahagian dan Pusat hanya akan diketahui selepas jam 6 petang nanti.
Source: SH Edisi Perak
[featured-video-plus]