
MACHANG – Kira-kira 8 tan mercun dan bunga api pelbagai jenis bernilai RM191,182 dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan pada Ops Khas Raya 2018 bermula 14 Mei lalu.
Pengarah Kastam Kelantan, Datuk Mohd Nasir Yusoff berkata, pihaknya turut mengeluarkan kompaun bernilai RM33,000 selain merampas sebuah lori dan menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan lanjut.
Menurutnya, operasi tersebut akan diteruskan sehingga 10 Jun ini yang mana melibatkan pelbagai lokasi di seluruh negeri dan tidak hanya tertumpu kepada pintu-pintu sempadan Malaysia-Thailand sahaja.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda jumlah nilai barangan terlibat atau penjara tidak lebih dari 3 tahun atau kedua-duanya sekali.
“Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, JKDM menyeru orang ramai supaya tidak bermain mercun atau bunga api bagi menjaga keharmonian masyarakat setempat di samping menjaga keselamatan diri masing-masing khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan golongan remaja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa Ops Khas Raya 2018 di Stesen Penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Labok, di sini, petang tadi.
Hadir sama, Penolong Kanan Pengarah Kastam, Ahmad Mazuki Yasin.
Mohd Nasir berkata, JKDM akan mengadakan rondaan berkala di sekitar Kota Bharu sepanjang musim perayaan ini bagi mengekang aktiviti bermain bunga api dan mercun pada akhir Ramadan ini.
Katanya, tindakan tegas akan diambil kepada sesiapa sahaja yang dikenal pasti menjual, mengedar, memiliki, menyimpan dan menyalakan bunga api dan mercun semasa rondaan tersebut.
Jelasnya, JKDM akan terus bertindak sebagai ‘lead agency’ dalam penguatkuasaan untuk membuat rondaan berkala, membuat pemeriksaan ke atas kedai-kedai dan kenderaan pengangkutan di samping melakukan serbuan berdasarkan maklumat risikan atau maklumat aduan orang awam.
“Kami juga mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai mengenai aktiviti penyeludupan serta maklumat berkaitan premis perniagaan yang menyimpan, memiliki dan mengangkut bunga api , mercun dan barang seludup yang lain.
“Maklumat boleh disalurkan melalui talian aduan penyeludupan 1-800-88-8855,” katanya.
Source: SH Edisi Kelantan
[featured-video-plus]