Iftar potluck bersama MB

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Buat julung kalinya kerajaan negeri akan menganjurkan Himpunan Iftar Rakyat dan Solat Berjemaah Bersama Menteri Besar di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS) pada 10 Jun ini.


Program anjuran Pejabat Exco Belia dan Sukan dengan kerjasama Waris Nismilan itu sasarkan lebih 1,000 pengunjung berbuka puasa mengikut konsep potluck bersama Menteri Besar, Aminuddin Harun.


Pengarah program, Mohd Sharifudin Joan berkata, ia merupakan sebahagian daripada gerak kerja untuk merapatkan silaturahim antara pemimpin dan rakyat.


“Kita adakan konsep potluck agar dapat berkongsi makanan antara satu sama lain, sekali gus beramah mesra dengan pemimpin Pakatan Harapan (Harapan).


“Selain itu kita juga mahu hidupkan kembali kemeriahan bandar Seremban, sekali gus jadikan Padang MPS sebagai lokasi tumpuan.


“Kini, tiba masanya untuk kita kembali bersatu dan menjalin hubungan kekeluargaan antara masyarakat sempena bulan yang penuh barakah ini,”katanya.


Tambahnya, MB dijadualkan akan mengimamkan solat Maghrib, disusuli oleh Exco Belia dan Sukan, Mohd Taufik Abd Ghani mengimamkan solat Isyak, seterusnya solat terawih akan diimamkan oleh Imam dari Syiria.


Turut diadakan aktiviti gotong royong bubur lambuk, tazkirah Ramadan, bacaan tahlil, penyampaian duit raya kepada asnaf dan gerak jualan.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]