Insentif RM450 kepada warga Felda dikredit Selasa

in Nasional by


PUTRAJAYA – Seramai 112,635 peneroka Felda di seluruh negara akan menerima insentif sebanyak RM450 sempena hari raya Aidilfitri.


Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, insentif itu melibatkan jumlah kos keseluruhan sebanyak RM50.68 juta.


“Kerajaan Persekutuan menghargai sumbangan peneroka Felda dalam pertumbuhan ekonomi negara.


“Untuk menampung insentif tersebut, Kementerian Kewangan telah menyalurkan peruntukan RM50 juta kepada Felda melalui Jabatan Perdana Menteri,” katanya.


Guan Eng berkata, insentif ini dijangka akan disalurkan kepada peneroka mulai Selasa, 12 Jun 2018.


“Bagi peneroka yang mempunyai akaun dengan Felda, insentif ini akan terus dikreditkan kepada mereka, manakala bagi yang tidak mempunyai akaun dengan Felda, pembayaran akan dibuat secara tunai oleh pengurusan rancangan Felda masing-masing,” jelasnya.


Tambah Guan Eng, pembayaran itu tidak termasuk dalam pembayaran Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR – yang dahulunya dikenali sebagai BR1M) yang akan dibayar secara berasingan.


“Ini selaras dengan manifesto Pakatan Harapan untuk meningkatkan taraf hidup peneroka Felda serta keluarga mereka,


Semoga pemberian insentif ini dapat membantu persediaan Aidilfitri para peneroka Felda di seluruh negara,” katanya.


Pada masa sama, Guan Eng berkata kerajaan telah mula menyalurkan RM1.6 billion kepada hampir 4.1 juta penerima BSHR, mulai 6 Jun 2018.


Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad  pada 6 Jun lalu mengumumkan kerajaan telah bersetuju supaya insentif Hari Raya Aidilfitri 2018 dibayar pada kadar RM450 bagi setiap peneroka Felda.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]