JDT Kukuh kedudukan di puncak

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan cengkaman di persada liga selepas menewaskan Pahang dalam aksi Liga Super 2018 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin sebentar tadi.


Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Hariss Harun pada minit ke-17.


Sebaik sahaja perlawanan bermula, kedua-dua pasukan mengatur gerak mengasak kubu pertahanan antara satu sama lain dengan beberapa kekasaran dilakukan.


Kealpaan benteng pertahanan skuad Tok Gajah memberi peluang kepada pasukan tuan rumah untuk melakukan counter attack, seterusnya menghasilkan jaringan pertama.


Hariss mudah meledakkan gol pada minit ke-17 apabila menerima hantaran Fernando Marquez yang pada awalnya tidak berjaya melakukan jaringan kerana dihalang pertahanan lawan.


Menyedari ketinggalan dan perlu mencari jaringan penyamaan, pasukan bimbingan Dollah Salleh menggandakan asakan dan mempertingkatkan tempo permainan.


Bagaimanapun, sehingga tamat 90 minit permainan dan masa tambahan, tiada sebarang jaringan berjaya dilakukan skuad Tok Gajah bagi mengikat Johor di laman sendiri.


Keputusan tersebut menyaksikan JDT berjaya mengumpul 35 mata hasil 11 kemenangan, dua seri dan satu kalah selepas menempuh 14 perlawanan.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]