Polis KL lancar URB 'Team Ninja' cegah jenayah

in Nasional by


KUALA LUMPUR –  Bagi memudahkan rondaan cegah jenayah lebih efektif, Polis Kuala Lumpur hari ini melancarkan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) “Team Ninja” untuk bertindak lebih efisyen dan pantas.


Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata pasukan berkenaan terdiri daripada 52 pegawai dan anggota yang akan menggunakan motosikal jenis Kawasaki Scrambler KLX 250 bagi melakukan rondaan secara bergilir-gilir setiap hari.


Team Ninja beroperasi di kawasan panas yang sering berlaku kes jenayah termasuk di kawasan perumahan, pusat perniagaan, kawasan perindustrian, taman rekreasi dan sekolah.  


“Kadang-kadang URB sedia ada tidak boleh masuk tempat sempit-sempit atau lorong… Team Ninja gunakan scrambler ia lebih ringan dan mudah untuk kejar penjenayah,” katanya selepas melancarkan “Team Ninja” di Jalan Esfahan,di sini, hari ini.


Pada majlis itu, Mazlan turut melancarkan Ops Selamat ke-13 sempena perayaan Aidilfitri  peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan mengagihkan kira-kira 100 bungkusan juadah berbuka kepada  orang awam termasuk pasukan petugas terdiri daripada anggota polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam.


Mengenai Ops Selamat, beliau berkata seramai 199 anggota trafik termasuk 14 pegawai akan  ditempatkan di 10 lokasi bagi mengurangkan risiko kemalangan berlaku.


Sepuluh lokasi berkenaan ialah Jalan Kepong, Jalan Tun Razak, Jalan Ipoh, Jalan Kuching, Jalan Ampang, Lebuhraya Seremban, Jalan Sentul, Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Jalan Connought dan Jalan Sungai Besi.


Sejumlah 270 anggota URB  akan bertugas pada Ops Selamat di kawasan-kawasan perumahan termasuk kawasan perniagaan, kawasan perindustrian, taman rekreasi dan sekolah.  


Dalam pada itu, Mazlan menasihatkan orang ramai berhenti menyebarkan berita palsu dan fitnah yang boleh menggugat ketenteraman awam.


“Perkara ini makin menjadi-jadi… sebagai contoh penyebaran berita palsu melibatkan institusi diraja atau kerajaan. Ia menjadi masalah dan boleh menimbulkan keadaan yang tidak harmoni,” katanya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]