RM2.6 bilion mungkin kena cukai?

in Nasional by


SHAH ALAM – Derma RM2.6 bilion yang diterima bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun  Razak berkemungkinan boleh dikenakan cukai pendapatan di bawah Seksyen 4(f) Akta Cukai Pendapatan 1967.


Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia, Datuk Abd Aziz Abu Bakar berkata, ini kerana, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LDHN) akan melihat dan mempertimbangkan semua aspek termasuk punca dan sifat pendapatan itu memandangkan ia dilaporkan telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi yang menimbulkan pertikaian.


“Dalam Seksyen 3 Akta Cukai Pendapatan menyatakan cukai pendapatan hendaklah dikenakan bagi setiap tahun taksiran atas pendapatan mana-mana orang yang memgakru dalam atau diterbit dari Malaysia atau diterima dalam Malaysia dari luar Malaysia.  


“Seksyen 4 akta sama pula berkaitan punca pendapatan dari mana yang meliputi enam perkara, 4(a) , 4(b), 4(c) , 4(d) , 4(e) dan 4(f). Seksyen 4(f) adalah melibatkan pendapatan lain-lain yang bukan melibatkan perolehan atau keuntungan perniagaan, perolehan atau keuntungan daripada suatu pekerjaan, dividen, faedah atau diskaun, sewaan, royalti atau premium serta pencen, anuiti atau bayaran berkala lain,” katanya.


Abd Aziz berkata, isu itu menjadi pertikaian kerana wang tersebut dilaporkan dimasukkan ke dalam akaun individu dan bukannya akaun organisasi yang mendapat pengecualian di bawah Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan.


Semalam, LHDN berkata, RM2.6 bilion yang diterima Najib Razak kini tertakluk pemeriksaan lanjut susulan pendedahan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Shukri Abdull, siasatan sedang dijalankan berhubung semua isu berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).


Pada 16 Februari 2016, berdasarkan pada dapatan dibuat agensi itu yang ditugaskan untuk menyiasat RM2.6 bilion tersebut, amaun yang diterima tersebut didapati adalah bayaran derma dan bersifat sukarela, dan dengan itu bukan bercirikan pendapatan.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]