Rozaini syukur bantuan Perkeso

in Uncategorized by


TAIPING – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah keadaan yang terpaksa dirasai balu kepada bekas pemandu bas Konsortium Ekpress Semenanjung (M) Sdn Bhd, Shuaib K K Mohamed Unny, 50, yang meninggal dunia pada 3 Jun lalu selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 142 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, Muar Johor.


Rozaini Ibrahim, 43, berkata, dia tidak menyangka kejadian tersebut, namun reda dengan ketentuan ALLAH.


Menurutnya, dia juga melahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana pihak Perkeso datang membantu selepas pemergian suaminya.


“Jika ikut perancangan duit yang diterima ini akan digunakan untuk kegunaan anak-anak yang masih belajar,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Faedah Perkeso oleh Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, di kediamannya di Kampung Kurnia Jaya, di sini semalam.


Rozaini berkata, ketiga-tiga anaknya Qurratul Aini, 22, Danial, 20 dan Siti Zulaika, 16, masing-masing masih meneruskan pengajian.


Pada majlis itu, Rozaini menerima wang Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 dan pencen berjumlah RM1,499 setiap bulan bermula bulan ini.


Mengulas lanjut, Rozaini berkata, walaupun dia bekerja, namun dengan adanya wang pencen arwah suaminya ini dapat membantu kehidupannya sekeluarga.


“Terima kasih kepada pihak Perkeso dan semua yang terlibat dalam segala urusan ini,” katanya


Terdahulu, kemalangan yang meragut nyawa suami Rozaini melibatkan pertembungan antara sebuah bas ekpress dan dua buah lori.


Kemalangan tersebut berlaku apabila sebuah lori lontena yang membawa muatan palet dari arah Tol Pagoh ke Kuala Lumpur telah bergesel dengan sebuah lori tangki di bahagian tepi belakang sebelah kiri sehingga menyebabkan pemandu lori kontena hilang  kawalan.


Akibat pergeselan itu, lori kontena terbalik melintang di tengah jalan sekali gus mengakibatkan bas ekpress dipandu arwah suami Rozaini dari arah Johor Baharu menghala ke Kuala Lumpur melanggar belakang kontena yang tertanggal daripada badan  lori.


Kemalangan tersebut telah meragut tiga nyawa iaitu pemandu bas dan dua penumpang.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]