Satu lagi mayat JBB Rong Chang 8 ditemui

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Satu mayat Kapal korek pasir JBB Rong Chang 8 yang terbalik di perairan Tanjung Tohor, Muar pada Mac lalu, ditemui, semalam.


Mayat terbabit ditemui terperangkap di bilik jentera utama oleh kontraktor yang dilantik untuk menimbulkan semula kapal terbabit.


Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Muda Maritim Datuk Abu Bakar Idris berkata, kapal korek pasir berkenaan sebelum itu berjaya ditimbulkan semula oleh kontraktor yang dilantik.


“Kontraktor yang melakukan kerja-kerja ‘salvage’ telah menjumpai satu mayat yang terperangkap di bilik jentera utama dan seterusnya menghubungi Maritim Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian.


Abu Bakar berkata, mayat berjaya dibawa keluar pada jam lebih kurang 12.45 tengah hari dengan bantuan bomba.

Mayat mangsa yang ditemui dibawa keluar dengan bantuan bomba.


Katanya, mayat seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.


“Usaha mencari di sekitar kapal turut dilakukan hari ini dengan melibatkan aset laut dari Maritim Malaysia dan Polis Marin bagi mengesan sekiranya ada penemuan mayat yang lain.


“Bagaimanapun tiada penemuan baharu di kawasan perairan sekitar,” katanya.


Terdahulu, kapal korek pasir JBB Rong Chang 8 bersama 18 orang krew kapal telah terbalik di lokasi lebih kurang 12 batu nautika barat Tg Tohor, Muar pada Mac lalu.


Operasi Mencari dan Menyelamat telah dilakukan selama 15 hari babit beberapa agensi penyelamat.  


Dengan penemuan terbaru mayat mangsa, jumlah mangsa ditemui menjadi 13 orang di mana lima daripadanya ditemui hidup dan lapan dijumpai telah meninggal dunia.


Mangsa yang telah meninggal dunia itu termasuk tiga mayat yang dijumpai di perairan Indonesia.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]