Segera bayar zakat fitrah

in Uncategorized by


TELUK INTAN – Umat Islam dinasihatkan supaya menyegerakan pembayaran zakat fitrah di bulan Ramadan sebelum tamat tempoh serta mengelakkan kesesakan apabila membayar saat akhir.


Pegawai Baitulmal Daerah Hilir Perak, Zul-Azri Hosaini berkata, bayaran zakat yang dibuat dengan kadar segera dapat membantu golongan yang layak menerima zakat berkenaan lebih-lebih lagi untuk sambutan Aidilfitri.


“Kepada mereka yang suka membayar zakat fitrah saat akhir saya menyeru supaya dapatlah ia dilakukan dengan kadar segera dikhuatiri anda terlupa atau terlepas tempoh bayaran akibat sikap suka bertangguh.


“Pembayaran awal dapat mengelakkan berlakunya kesesakan apabila ramai yang mencari amil untuk membuat bayaran di saat akhir,” katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Orang Besar Jajahan (OBJ) serta penyampaian Cek Saguhati Jawatankuasa Fitrah dan Bantuan Raya Kepada Asnaf, di Masjid Daerah Sultan Idris II, Teluk Intan, baru-baru ini.


Turut hadir pada program berkenaan adalah OBJ Manjung yang juga pemangku OBJ Hilir Perak Lt Kol (B) Datuk Shaharudin Nazari bersama Pegawai Daerah Hilir Perak, Shahrunaim Radzali.


Sementara itu mengulas mengenai bantuan dan sumbangan yang disampaikan pada majlis berkenaan, Zul-Azri berkata sebanyak RM817,000 wang zakat diagihkan kepada penerima-penerima bantuan fakir miskin Ramadan dan saguhati jawatankuasa zakat fitrah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk) bagi daerah Hilir Perak dan Bagan Datuk.


“Sebanyak RM208,000 wang diagihkan kepada 832 penerima di bawah penerima bantuan bulanan Maipk yang dimasukkan ke dalam akaun bank mereka atau boleh diambil secara tunai di pejabat Baitulmal Teluk Intan.


“Bagi penerima bantuan melalui masjid yang dipilih oleh kariah masjid, RM275,000 diperuntukkan kepada 1,100 penerima dari Daerah Hilir Perak dan Daerah Bagan Datuk,” katanya.


Menurut Zul-Azri , Maipk juga turut memperuntukkan RM126,000 bagi saguhati jawatankuasa zakat dan fitrah melibatkan Daerah Hilir Perak dan Bagan Datuk dengan jumlah masing-masing bernilai RM63,000.


“Untuk penerima bantuan bulanan Maipk dan bantuan melalui masjid setiap fakir miskin ini akan menerima wang RM250 seorang bagi membantu meringankan beban menyambut raya.


“Manakala saguhati jawatankuasa zakat dan fitrah akan diberikan RM1,500 setiap masjid untuk diagihkan sama rata kepada ahli-ahli jawatankuasa,” katanya.


Tambahnya, Maipk berharap agar sumbangan itu dapat meringankan beban golongan berkenaan serta digunakan sebaik mungkin.

 


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]