'Sepasang baju sudah terlalu cukup'

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Dua beradik gembira dapat beli sepasang baju raya untuk menyambut Aidilfitri pada tahun ini.


Muhammad Danish Iman Asman, 8, dan Muhammad Syamin Iman, 7, berbangga dengan sepasang baju raya biarpun rakan lain memiliki lebih daripada sepasang.


Seakan mengerti kesusahan keluarga, dua beradik dari Kampung Kebor Besar ini, tidak banyak kerenah malah bersyukur dengan apa yang ada.


Danish Iman berkata, keluarganya belum membeli pakaian raya buat mereka dua beradik dan apabila cikgu sekolahnya (Sekolah Kebangsaan Kebor Besar) beritahu hendak bawa beli pakaian raya, dia sangat teruja.


“Cikgu bawa adik (Syamin) sekali ke sini (pasaraya) sebab kami dua beradik saja dan hari ini (semalam) kami dah beli jubah, kasut dan songkok.


“Nanti boleh pakai untuk raya dan ini pun sudah cukup untuk kami dua beradik,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sebuah pasaraya, di sini, yang dibawa khas oleh guru sekolahnya melalui Pertubuhan Amal, Fisabilillah Terengganu menerusi Program Baju Raya Project 2018.


Ditanya berapa pasang baju raya untuk tahun ini, Danish dengan pantas menjawab sudah beli satu, cukup untuk dia.


“Satu dah cukup, lagipun kalau raya memang ada sepasang je baju baru,” kata kanak-kanak ini dengan jujur.


Danish berkata, keluarganya hidup sederhana, ibu, Ema Yanti Nazir, 31, seorang suri rumah dan ayah, Asman Ramli, 35, bekerja sebagai pemandu Grab.


Syamin pula agak pendiam tetapi dari raut wajahnya jelas menampakkan dia gembira apabila dibawa membeli-belah kelengkapan raya.


Memilih jubah, kasut dan songkok, dua beradik ini kelihatan sangat gembira apabila semua kelengkapan raya mereka selesai walaupun hanya sepasang jubah untuk dipakai pada pagi Aidilfitri.


Sementara itu, Pengerusi Fisabilillah Terengganu, Wan Safari Wan Ahmad berkata, setakat ini sepanjang Ramadan, pihaknya telah membantu seramai 289 orang anak yatim dan fakir miskin di Terengganu.


Program pertama melibatkan seramai 225 orang manakala kali kedua, seramai 64 orang dari Sekolah Kebangsaan Kebor Besar dan Sekolah Kebangsaan Sri Nilam.


Wan Safari berkata,100 peratus sumbangan yang disalur kepada Fisabilillah Terengganu akan diguna sepenuhnya kepada golongan yang layak.


“Ini amanah penyumbang atau mereka yang menderma, sebagai pengerusi kepada pertubuhan amal ini, saya akan pastikan ia sampai kepada mereka (golongan sepatutnya).


“Hari ini kita hadkan RM100 kepada kanak-kanak ini untuk mereka beli kelengkapan raya dan dalam masa sama, ada juga penyumbang yang mahu kami dermakan barangan keperluan dapur, kami akan ikut dan buat segera, sempena Ramadan,” katanya.


Dalam masa sama, Wan Safari berkata, mereka juga menjalin kerjasama dengan Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) dalam urusan pembaikian rumah.


“Kita bergerak berdasarkan aduan dan akan menyiasat terlebih dahulu kesahihan maklumat yang diterima sebelum mencadangkan kepada YDSM untuk tindakan selanjutnya,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]