Siti suarakan permasalahan penggiat seni

in Hiburan by
Penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza

Siti suarakan permasalahan penggiat seni


PENYANYI tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza, berkata, dia percaya industri seni hiburan negara khususnya dalam bidang muzik bakal bertambah baik selepas bertemu dengan Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), baru-baru ini.


Jelas Siti menerusi portal hiburan, apa yang disuarakannya itu lebih lebih kepada cadangan dan luahan tentang permasalahan penggiat seni dalam berkarya.


“Pertemuan selama lebih sejam itu memberi peluang kepada saya untuk berkongsi permasalahan yang sering dihadapi anak seni seperti masalah dana, kekurangan penaja untuk menganjurkan konsert, soal royalti seperti sering dibangkitkan sebelum ini dan beberapa cadangan lain.


“Mereka (MPK) kelihatan begitu berminat dengan apa yang saya suarakan dan meminta kertas kerja hasil perbincangan itu disiapkan segera untuk diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.


“Insya-Allah, berdasarkan maklum balas mereka, saya yakin industri seni kita mampu menjadi lebih baik lagi selepas ini,” katanya.


Selain Siti, 39, antara beberapa wakil penggiat seni lain turut serta dalam sesi berkongsi pandangan itu seperti, pengkritik filem, Hassan Muthalib; bekas Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Kamil Othman; penulis dan budayawan, Eddin Khoo; serta aktivis teater, Jo Kukathas.


MPK yang dipengerusikan Tun Daim Zainudin ditubuhkan pada 12 Mei lalu untuk memberi nasihat berhubung ekonomi dan kewangan kerajaan.


Selain Daim, MPK dianggotai oleh bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz; bekas Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Hassan Marican; dan ahli ekonomi terkemuka, Prof Jomo Kwame Sundaram.


Source: SH Hiburan 1

[featured-video-plus]