Tak sempat melaram dengan kereta curi

in Edisi Selangor KL by


PUCHONG -Tidak sampai 24 jam ia dicuri di Kangkar Pulai, Johor, polis berjaya menemukan kembali sebuah kenderaan dalam sekatan jalan raya ketika Op Selamat 13 dilaksana Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, di Puchong Jaya pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Serdang menahan kereta Proton Preve terbabit untuk melakukan pemeriksaan selepas mendapati pemandunya dalam keadaan mencurigakan.


Menurutnya, sebaik diperiksa, kenderaan itu dilapor baru sahaja dicuri kira-kira jam 3 pagi tadi di Johor.


“Anggota lakukan pemeriksaan lanjut dan suspek di bawa ke IPD Serdang untuk tindakan selanjutnya.


“Siasatan awal mendapati pemandu itu sebelum ini pernah ditangkap bersabit kes di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan di Batu 9, Cheras dan Kulim, Kedah ,” katanya kes disiasat di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan dan kenderaan terbabit dirampas.


Dalam perkembangan berasingan Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya mengeluarkan 54 saman dalam Op Selamat 13 dilaksanakan bermula jam 9 pagi tadi.


Sebanyak 32 saman atas pelbagai kesalahan manakala 22 lagi kerana melanggar lampu isyarat merah.


Menurutnya, pihaknya memberi fokus terhadap kesalahan pandu laju, menggunakan lorong kecemasan, potong barisan, garisan berkembar, langgar lampu isyarat dan penggunaan telefon bimbit ketika memandu.


“Op Selamat 13 dilaksana serentak di seluruh Selangor bermula hari ini hingga 22 Jun ini. Tahun ini, polis memberi penekanan kepada operasi lampu merah selain lain-lain kesalahan,”katanya.


Beliau berkata, terdapat peningkatan 19 kes kemalangan iaitu 366 kes dilapor sepanjang Op Selamat 9 berbanding 385 kes dilapor sepanjang Op Selamat 11.


Bagaimanapun kes kemalangan maut mencatat pengurangan tiga kes iaitu empat kes dilapor pada Op Selamat 9 berbanding satu kes sepanjang Op Selamat 11.


“Operasi ini dijalankan di empat lokasi panas selain rondaan berkala dilaksanakan sepanjang operasi dijalankan,”katanya yang turut mengedarkan risalah mengenai kempen keselamatan jalanraya.


Sementara itu, IPD Kuala Langat mengeluarkan 15 saman terhadap kesalahan lampu isyarat dalam Op Selamat 13/2018 yang dilaksanakan di Kilometer Jalan Banting – Dengkil, semalam.


Operasi selama tiga jam itu bagi mencegah dan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, mendidik pengguna patuhi undang-undang, mengambil tindakan terhadap pesalah lau lintas dan pelaksanaan kempen Rumah Selamat, Selamat ke Destinasi.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]