Terbawa-bawa emosi lakonan, suami 'warning' Nad Zainal

in Hiburan by
Nad Zainal Foto : Instagram

Terbawa-bawa emosi lakonan, suami ‘warning’ Nad Zainal


UMUM sedia mengenali, pelakon berbakat besar, Nad Zainal, yang tidak pernah memberikan lakonan yang menghampakan, meskipun untuk watak kecil.


Dan biarpun sudah mendirikan rumah tangga, pemilik nama sebenar Farah Nadia Zainal Abidin ini mengakui rezeki lakonannya tidak pernah putus dan sering ditawarkan watak berat dan lebih matang, sekali gus menuntutnya bermain dengan emosi.


Bagaimanapun, dek kerana komited dengan kerja, wanita berusia 28 tahun ini mendedahkan, dia ada ketikanya terbawa-bawa lakonannya hingga ke rumah.


Justeru, bagi mengurangkan pembawakan emosi di luar set penggambaran, Nad mengakui suaminya, Muhammad Faliq Amirudin pernah berpesan supaya mengurangkan menerima watak yang akan berat.


“Alhamdulillah, selepas berkahwin, saya banyak ditawarkan watak sebagai ibu, wanita berkahwin dan ada ketika genre drama yang agak berat.


“Untuk saya, saya memang selesa dan tiada masalah untuk membawakan watak yang bermain dengan emosi. Cuma suami ada ingatkan saya jangan selalu sangat terima watak ‘rentan’, satu atau dua kali dalam setahun, cukup.


“Sebabnya, saya akui kadang-kadang saya terbawa-bawa emosi itu hingga ke rumah. Kadang-kadang balik dari penggambaran, saya termarah suami.


“Bukan saja suami, pengurus saya pun saya marah. Tapi mujurlah mereka sebenarnya sangat memahami kerja dan cara lakonan saya,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media & tayangan perdana program Astro, bertempat hotel Majestic, baru-baru ini.


Berkongsi pula mengenai aktiviti sepanjang bulan Ramadan, Nad berkata dia lebih sibuk menjalankan perniagaan di bazar menjual kasut, beg tangan dan biskut raya.


“Untuk raya nanti, telefilem lakonan saya bertajuk Raya Semanis Madu arahan Adlin Aman Ramli akan ditayangkan di saluran Astro,” ujarnya.


Berkongsi mengenai sambutan hari raya yang akan tiba kurang seminggu sahaja lagi, ibu kepada Fahad Ibrahim yang kini berusia setahun lapan bulan ini sudah membuat persiapan lebih awal.


Malah lebih istimewa, anaknya itu akan merasai pengalaman beraya di kampung buat pertama kali.


“Tahun ini kami sekeluarga akan beraya di rumah ibu bapa kami di Ampang dan kemudian akan pulang ke kampung suami di Johor pada hari raya kedua.


“Baju Yem (nama timangan anaknya) ada lima pasang, baju saya ada enam pasang dan baju suami ada empat pasang. Saya tak sabar nak tengok Yem beraya di kampung dengan sepupu-sepupu dia,” katanya.


Source: SH Hiburan 1

[featured-video-plus]