Umat Islam kutuk kekejaman rejim zionis

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Lebih 600 pendukung keamanan termasuk ahli politik menyertai Perhimpunan Hari Peringatan Al Quds bagi mengutuk kekejaman rejim zionis di hadapan kedutaan Amerika Syarikat di sini, hari ini.


Himpunan anjuran Sekretariat  Palestin Malaysia (SPM) yang terdiri daripada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura), Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat dan 60 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain itu diadakan selama dua jam bermula dengan peserta berarak dari Masjid Tabung Haji ke Kedutaan  Amerika Syarikat, di sini selepas solat Jumaat.


Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, satu memorandum bantahan diserahkan kepada Kedutaan  Amerika Syarikat yang diterima oleh ketua pengawal keselamatan kedutaan itu.


Menurutnya, AS kini dilihat sebagai boneka Israel dan tidak layak menjadi pendamai.


“Hari Al Quds disambut oleh seluruh dunia sebagai tanda kesatuan kemanusiaan menentang pencabulan dan kezaliman zionis Israel ke atas rakyat Palestin.


“Kami tidak akan berdiam diri dan kita menyatakan kebangkitan seluruh masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa bersatu menentang perkara ini, ” katanya ketika ditemui media di sini,  hari ini.


Azmi berkata, kira-kira 10 NGO akan bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyerahkan memorandum yang dihantar kepada Kedutaan AS hari ini.


Menurutnya, suara dan kepimpinan Mahathir sangat dihormati dan beliau percaya  kerajaan baharu dapat memberi perubahan dalam isu Palestin ini.


“Kita akan bersemuka dengan Dr Mahathir minggu hadapan bagi berbincang tindakan kerajaan dalam menyelesaikan perkara ini, ” katanya.


Pada 14 Mei lalu, sekurang-kurangnya 60 penduduk Palestin terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Israel semasa membantah pembukaan kedutaan baharu Amerika Syarikat di Baitulmaqdis.


Lebih 100 penduduk Palestin terkorban sejak 30 Mac lepas ketika tunjuk perasaan besar-besaran itu bermula. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]