Umno perlu kombinasi baru, lama

in Politik by


IPOH – Pemuda Umno Perak menyambut baik keputusan Majlis Tertinggi (MT) untuk membuka ruang pertandingan dan sekali gus terus menyuburkan amalan demokrasi dalam pemilihan parti.


Menurut ketuanya, Khairul Shahril Mohamed, dalam krisis dan keadaan Umno yang terluka selepas PRU14 lalu, kestabilan serta kemantapan barisan perlu dicapai.


Jelas beliau, pemilihan parti itu kali ini adalah satu platform untuk membersihkan Umno daripada golongan yang sering mengadu domba dan mereka yang lari dari perjuangan asal serta membina kembali barisan kepimpinan yang mantap.


“Bagi mencapai matlamat pengukuhan semula parti, Umno perlukan gabungan pemimpin baru dan lama supaya dapat menstabilkan kedudukan parti.


“Jika kita hanya ghairah mahu membuat reformasi dalam Umno dengan mengangkat pemimpin-pemimpin baharu sahaja tanpa pedulikan orang lama, parti tidak mampu berjalan dengan baik kerana ketiadaan pengalaman, kepakaran dan sebagainya,” katanya.


Ujar Khairul Shahril lagi yang juga Adun Bota, setelah kekalahan BN pada PRU14 lalu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah diberi mandat memangku tugas-tugas presiden dan beliau dilihat istiqamah serta memainkan peranan yg cemerlang dalam memperkukuhkan kembali parti.


Kata beliau, Ahmad Zahid melakukan pelbagai inisiatif termasuk membuat perjumpaan dan menyatukan semua wakil rakyat BN, berjumpa dan menaikkan semangat semua kepimpinan Umno serta BN.


“Naib Presiden kita pantas bangkit meniupkan semangat kepada ahli dan pemimpin Umno yang sedang ‘berkabung’ selepas kalah pada PRU14.


“Beliau melaungkan kata-kata semangat kepada seluruh ahli parti supaya tetap dengan perjuangan dan tidak pernah lari dari matlamat asal.


“Karisma seumpama inilah yang diperlukan Umno untuk terus memimpin parti dalam usaha pemulihan ini dan bagi menghadapi cabaran hari-hari mendatang,” katanya.  


Tegas Khairul Shahril lagi, Ahmad Zahid juga tidak dapat dinafikan adalah pemimpin yang mempunyai track record yg baik dan terus aktif membantu parti dalam keadaan sukar kini.


Oleh itu menurut beliau, semangat dan perhubungan beliau dilihat bukan sahaja dapat menaikkan semangat pendokong Umno malah boleh mengembalikan kepercayaan rakyat kepada BN.


“Sama ada kita sedar atau tidak , kita diserang dari luar, jadi saya minta rakan-rakan berhati-rakan dalam mengeluarkan kenyataan dalam kita hendak memulihkan parti kita ini.


“Biarlah Umno bangkit dengan mengikut arus tradisinya iaitu pemimpin lama berganding bahu dengan pemimpin baharu membina wadah perjuangan parti,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]