World #QuranHour sebagai pelancaran amalan baca al-Quran

in Nasional by


SHAH ALAM – Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid menyifatkan World #QuranHour sebagai satu pelancaran kepada umat Islam supaya sentiasa menjadikan amalan membaca dan memahami maksud al-Quran dalam kehidupan harian.


Menurutnya, secara peribadi beliau menyokong World #QuranHour diangkat menjadi agenda nasional supaya intipati pengajurannya dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh umat Islam di negara ini.


“Saya anggap ini sebagai pelancaran supaya selepas ini umat Islam di seluruh Malaysia khususnya rajin membaca al-Quran, kalau boleh tiap-tiap hari bukan semasa World #QuranHour sahaja.


“Selain membaca, umat Islam perlu perhalusi apa kandungan ayat, apa maksudnya, dan tahu sebab apa perlu membaca al-Quran,” katanya kepada Sinar Harian.


Mohd Tamyes berkata, terdapat tiga kumpulan yang boleh dikategorikan dalam membaca al-Quran iaitu orang yang membaca semata-mata membaca al-Quran tetapi tidak mengetahui makna tetapi sudah mendapat faedah.


Kedua adalah kumpulan yang apabila dia membaca al-Quran dengan baik serta memahami maksudnya adalah lebih baik dan ketiga mereka yang


memahami maksud dan mengamalkan perkara yang baik dan meninggalkan larangannya.


“Sebab itu, tidak ada buku ataupun kitab di dunia ini apabila dibaca mendapat pahala selain al-Quran.


“Budaya memahami al-Quran inilah perlu menjadi sebahagian daripada cara keluarga Islam dan tidak mustahil jangkaan dalam tempoh 10 tahun akan datang yang dijangkakan bakal melihat umat Islam nanti berlumba-lumba membaca al-Quran selepas melihat penerimaan daripada masyarakat dalam negara mahupun luar negara sertai World #QuranHour,” katanya.


Semalam, kira-kira 7,000 orang berjaya dikumpulkan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai lokasi perdana World #QuranHour.


Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berharap World #QuranHour menjadi agenda nasional selain diangkat ke peringkat lebih tinggi agar intipati penganjurannya dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh umat Islam di negara ini.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]