19 barangan kawalan kena bertanda merah jambu

in Edisi by


TAIPING  – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Taiping memberi amaran kepada semua peniaga agar menggunakan tanda harga berwarna merah jampu terhadap semua barangan kawalan.


Ketuanya, Mohamad Kamarol Mat Nor berkata, perkara tersebut penting bagi memastikan semua 19 barangan kawalan ini dapat dibezakan dengan barangan lain.


Menurutnya, selain itu, peniaga juga perlu mempamerkan tanda harga pada setiap barangan yang dijual.


“Peniaga juga adalah digalakkan untuk menjual barangan tersebut pada harga lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya harga yang diperoleh adalah rendah,” katanya dalan satu kenyataan selepas mengadakan Pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2018 Daerah Larut Matang dan Selama (LMS) di Pasar Borong, Kamunting, di sini, semalam.


Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Kamarol berkata, sepanjang pemeriksaan yang dijalankan di Pasar Borong Kamunting, semua peniaga mematuhi arahan dan tidak merekodkan sebarang kes.


“Semua peniaga menggunakan alat timbang yang masih dalam tempoh penentusahan dan tanda harga juga dipamerkan ke atas barangan yang dijual,” katanya.


Mengulas lanjut, Mohamad Kamarol berkata, selain itu, perkara utama yang sentiasa diberikan perhatian ialah peniaga juga perlu menjual barangan pada harga terkawal dan tidak melebihi harga maksimum yang telah ditetapkan.


“Di samping itu, para peniaga turut diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.


“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti.


“Bagi individu yang melakukan kesalahan itu, mereka boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau kompaun sehingga RM50,000.


“Manakala kesalahan yang dilakukan oleh syarikat, denda swhingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000,” katanya.


Jelas Mohamad Kamarol, penguatkuasaan skim ini akan dipertingkatkan bagi manfaat pengguna dan peniaga.


“Pemeriksaan dan pemantauan telah mula dilakukan oleh pegawai-pegawai penguatkuasa KPDNKK Taiping di lokasi-lokasi tumpuan orang ramai membeli-belah barang keperluan untuk Hari Raya seperti di pasar raya dan pasar awam.


“Pada masa yang sama, kerjasama daripada Friends Of KPDNKK, Skuad Pengguna, dan pemimpin masyarakat setempat akan dimanfaatkan bagi membantu KPDNKK dalam memberi maklum balas sekiranya terdapat peniaga yang ingkar,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]