Adun terpaksa berhutang bina titi

in Edisi Utara by


BALING – Adun Bayu terpaksa berhutang dengan kedai perkakasan semata-mata mahu menyediakan titi kepada penduduk Kampung Pantai, Weng Dalam, di sini.


Abd Nasir Idris berkata, tindakan itu terpaksa dilakukan susulan tiada peruntukan daripada pejabat daerah bagi membina kemudahan tersebut.


Menurutnya, kos titi itu difahamkan mencecah hampir ratusan ribu.


“Titi asal runtuh kira-kira dua minggu lepas, menyebabkan penduduk terputus hubungan untuk urusan harian.


“Jika ada jalan pun terlampau jauh dan perlu redah hutan. Ia tak mampu dilalui terutamanya warga emas,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui di kawasan pembinaan titi Kampung Pantai Weng Dalam, di sini hari ini.


Abd Nasir berkata, pembinaan titi ketika ini sudah 80 peratus siap hasil gotong-royong penduduk.


“Gaji Adun pembangkang di negeri ini belum dikreditkan. Ketika ini saya sedang berusaha cari dana untuk bayar semula hutang kepada kedai berkenaan,” katanya.


Abd Nasir berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir diharap memberi peruntukan kepada Adun pembangkang.


“Jumlah pengundi di Bayu menghampiri 40,000 dengan keluasan begitu luas. Di sini, antara kawasan terluas dan mempunyai bilangan penduduk yang ramai di Kedah.


“Saya harap Mukhriz berikan peruntukan sama kepada setiap Adun tanpa mengira latar belakang politik,” katanya.


Beliau berkata, Adun dipilih oleh rakyat dan sebagai pemimpin, hak rakyat perlu dihormati.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]