Badan bebas kaji kemalangan bas ekspres

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


MELAKA TENGAH – Satu badan bebas terdiri daripada pakar pengangkutan, undang-undang, jalan raya, kenderaaan, tingkah laku manusia serta pemanduan perlu dibentuk segera bagi mengkaji dan mencadangkan langkah mengurangkan risiko kemalangan bas ekspres.


Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam, Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, satu kajian menyeluruh mesti dilakukan terhadap kemalangan bas ekspres yang dilihat sering berlaku.


Menurutnya, kajian ini perlu bagi melihat punca sebenar kemalangan berlaku selain langkah pembetulan serta pencegahan jangka pendek dan panjang bagi mengurangkan kemalangan ini.


“Walaupun siasatan dijalankan namun sering kali kita mendapati ia tidak dilaporkan secara telus.


“Malah ada siasatan yang tidak dilaporkan sama sekali.


“Budaya negatif ini mesti diperbetulkan. Saya yakin Menteri Pengangkutan yang baharu akan memastikan setiap kajian akan dijalankan secara telus dan dibentangkan kepada umum,” katanya.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan, Loke Siew Foke, kelmarin bahawa kementeriannya akan menyiasat kemalangan membabitkan bas ekspres.


Sementara itu, Mohd Sofi berkata, beliau menyokong sepenuhnya kenyataan Siew Foke bahawa JPJ akan melaksanakan sistem tender terbuka untuk nombor khas Malaysia 1 hingga 9999.


Menurutnya, tindakan ini tepat kerana ia akan menambahkan pendapatan kerajaan.


Katanya, semua kementerian dan agensi kerajaan mesti memikirkan cara untuk meningkatkan pendapatan kerajaan tanpa membebankan rakyat.


“JPJ sebagai contoh mesti memikirkan bagaimana caranya untuk meningkatkan pendapatan mereka dari sumber tertentu seperti tender nombor plat dan sebagainya.


“Dalam pada itu, mereka juga perlu mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat kerana mereka tidak mahu dibebankan dengan saman yang terlalu tinggi dan sistem yang menyusahkan,” katanya.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]