Dr Mahathir ke Jepun hadiri Persidangan Nikkei

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengadakan lawatan kerja ke Tokyo, Jepun mulai esok hingga 12 Jun bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia (Persidangan Nikkei) Ke-24.


Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini berkata, kunjungan Dr Mahathir ke sana adalah atas jemputan Nikkei Incorporated selaku penganjur persidangan itu.


Beliau akan diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta pegawai Kementerian Luar.


Selain menyampaikan ucap tama bertajuk ‘Keeping Asia Open – How to Achieve Prosperity and Stability’ yang juga tema Persidangan Nikkei tahun ini, Dr Mahathir dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe.


Dr Mahathir juga dijadual mengadakan pertemuan dengan beberapa entiti perniagaan seperti Dewan Perdagangan dan Industri JepunPer, Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun dan Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia.


Menurut kenyataan itu lagi, kehadiran Dr Mahathir pada persidangan itu akan memberi peluang kepada Malaysia untuk terlibat dalam inisiatif yang bertujuan meningkatkan kerjasama ekonomi lebih meluas antara negara-negara di rantau ini.


Menerusi lawatan kerja itu, Dr Mahathir juga akan mengetengahkan dasar-dasar kerajaan terkini Malaysia kepada Jepun dan negara serantau terutamanya mengenai pelaburan asing dan perdagangan.


Ia turut memberi ruang kepada Malaysia untuk menyumbang serta berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan wakil-wakil kerajaan yang lain, tokoh-tokoh perniagaan serta pakar akademik.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]