Galak peniaga jual lebih murah

in Edisi Utara by


ALOR SETAR – Peniaga di Kedah digalakkan menjual barangan lebih murah daripada harga kawalan maksimum jika mendapat bekalan lebih murah daripada pembekal sempena Aidilfitri 15 Jun ini.


Exco Hal Ehwal Pengguna Kedah, Dr R Summugam menggalakkan peniaga supaya menjual barang kawalan lebih rendah daripada paras harga siling yang ditetapkan.


“Sekiranya, peniaga mendapat barangan pada harga lebih murah, mereka boleh menjual lebih murah daripada harga barang kawalan,” katanya kepada media, selepas merasmikan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan peringkat Kedah di Pasar Besar Alor Setar, di sini tadi.


Turut hadir, Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah, Datuk Johari Alifiah dan Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah Mohamad Fitri Hassan.


Menurutnya, sepanjang pelaksanaan program kawalan harga, KPDNKK bekerjasama dengan Sahabat KPDNKK dalam menjadi mata dan telinga pihak berkuasa bagi memastikan tiada pihak yang melanggar undang-undang.


Sementara itu, Mohamad Fitri berkata, sehingga kini peniaga dilihat akur dengan penetapan harga barangan kawalan apabila tiada aduan diterima pihak KPDNKK melalui pemeriksaan yang dibuat.


“Sebanyak 147 premis di seluruh Kedah termasuk 134 daripadanya adalah perniagaan runcit telah diperiksa melalui operasi yang dijalankan namun tiada aduan direkodkan,” katanya.


Terdahulu, Summugam berkata, antara barangan disenaraikan di bawah skim kawalan di Kedah ialah ayam hidup, daging lembu, telur ayam dan cili merah.


“Barangan lain termasuk bawang, kubis bulat, kelapa dan ikan kembung manakala harga tomato dan bawang putih menurun. Harga ikan selayang dan daging lembu tempatan naik manakala barangan lain masih pada harga yang sama,”  katanya.


Pada 6 Jun lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan 22 barangan yang tertakluk di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2018.


Skim itu dilaksanakan bermula 8 Jun hingga 22 Jun oleh KPDNKK di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]