Gembira pilih baju raya sendiri

in Edisi Utara by


KULIM – Program Semarak Kasih Syawal 2018 anjuran Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) memberi ruang kepada lebih 50 asnaf merasai sendiri kemeriahan membeli-belah pakaian raya.


Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat MPKK, Zaidi Zainun berkata, asnaf dipilih daripada murid sekolah rendah dalam kalangan keluarga susah dan kurang berkemampuan.


“Kita sebagai satu agensi kerajaan yang sentiasa rapat dengan komuniti, mengambil satu lagi langkah untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.


“Pada tahun ini, kita pilih murid-murid dari sembilan sekolah di sekitar daerah ini dan bawa mereka ke pasar raya untuk mereka pilih sendiri kelengkapan raya seperti baju raya dan kasut.


“Alhamdulillah mereka sangat teruja dan gembira sekali, apabila diberi peluang membeli-belah sendiri seperti rakan lain yang lebih berkemampuan,” katanya.


Katanya, diharap inisiatif MPKK ini dapat meringankan beban keluarga kanak-kanak terbabit dalam menyambut hari lebaran kali ini.


“Kita juga akan meneruskan program sebegini pada tahun-tahun akan datang dalam usaha membantu golongan memerlukan,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]