Import barang keperluan jika tidak cukup

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Barangan keperluan harian atau bahan basah akan diimport sekiranya ia tidak mampu menampung permintaan pengguna sepanjang berlansungnya musim perayaan Aidilfitri tahun ini.


Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal berkata, kebiasaanya barangan yang kerap mendapat permintaan tinggi sepanjang musim perayaan adalah kelapa.


“Kalau setiap kali raya ini, barangan yang sering diperlukan adalah kelapa, jadi  memang kita kena bawa daripada luar. Untuk keperluan lain biasanya kita perlu periksa dahulu adakah perlu kita import ke tak. Kalau daripada tempatan sahaja ada, kita tidak perlu import.


“Yang penting kita perlu pastikan pengagihan bahan-bahan ini berjalan lancar. Keseluruhannya, tidak perlu dikhuatiri, bahan-bahan mentah untuk musim perayaan ini memang tiada masalah,” katannya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Program Jualan Jimat Belanja Aidilfitri di Pasar Tani Datin Halimah, di sini, semalam.


Sahruddin berkata, bahan mentah yang diimport juga akan menjalani proses kawalan bagi memastikan ia tidak membawa sebarang mudarat serta berlakunya penyebaran penyakit.


“Barangan import ini saya ambil contoh kelapa, biasanya kita ambil dari Indonesia atau Thailand. Tapi ia perlu dikawal sebab kita mahu pastikan aspek kebersihan sentiasa diambil peduli selain yakin ia tidak menyebarkan penyakit di Malaysia,” katanya.


Mengulas mengenai Program Jualan Jimat Belanja Aidilfitri yang memulakan operasinya hari ini sehingga 14 Jun depan, merupakan usaha baik dalam memastikan rakyat tidak terbeban dengan kos bahan mentah yang tinggi.


“Program ini akan dilaksanakan di 15 pasar tani seluruh Johor yang juga akan membabitkan 475 peniaga.


“Objektif program ini adalah untuk memberi peluang kepada rakyat untuk mendapatkan barang keperluan menjelang Aidilfitri di pasar tani dengan harga lebih rendah iaitu lima hingga 20 peratus,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]