Kelantan beri tentangan sengit kepada Kedah

in Edisi Utara by


ALOR SETAR – Kedah mengakui diberi tekanan tinggi oleh Kelantan walaupun berjaya menang tipis 1-0 ke atas skuad muda itu di Stadium Darul Aman, kelmarin.


Rombakan formasi dilakukan Kedah pada minit ke-60 selepas pelawat yang beraksi sebagai tuan rumah berusaha untuk memburu gol penyamaan selepas ketinggalan pada minit ke-45 menerusi jaringan Paulo Rangel.


Menurut Pengurus Kedah, Syed Khairol Anuar Syed Abidin, kekalahan 1-2 kepada pasukan sama pada 5 Jun lalu menyaksikan Lang Merah telah melakukan rombakan terutamanya memberi perhatian pada bahagian tengah dan pertahanan mereka.


“Post mortem dilakukan selepas tewas pada dua perlawanan lalu dan kita lihat ada kelemahan apabila menjelang minit ke-60. Sebab itu kita beri tumpuan pada penghujung perlawanan untuk menyerap asakan Kelantan. Pada separuh masa pertama pula kami kena kerja keras untuk memburu gol awal.


“Kita berdepan pemain muda yang tidak pernah putus asa hingga minit ke-90. Apapun tahniah kepada jurulatih dan pemain kerana beri komitmen yang cukup tinggi pada perlawanan ini,” katanya.


Syed Khairol Anuar berkata, tiga mata tersebut penting buat mereka untuk terus mencabar kelompok atasan liga super.


Dalam pada itu, beliau berkata, Rangel yang menjaringkan gol tunggal pada perlawanan tersebut perlu terus diberi ruang dan masa untuk membuktikan kemampuan sebenarnya.


“Kita tidak boleh menilai secara keseluruhan prestasi Rangel dalam beberapa perlawanan sebelum ini. Beliau ada kekuatan tersendiri jika terus diberi peluang,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]