Komited selesai isu bukan Islam: Exco

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Unit Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan komited kenal pasti serta menyelesaikan isu berkaitan komuniti bukan Islam di negeri ini.


Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam , J.Arul Kumar berkata, permasalahan yang dikenal pasti adalah berkaitan tempat ibadat, pemilikan tanah serta kawasan perkuburan.


“Sebelum ini kami ada menerima banyak aduan mengenai hak milik tanah  serta status rumah ibadah yang tidak diluluskan, termasuk tanah perkuburan yang terbiar tanpa penyelenggaraan sempurna.


“Kita harapkan unit baharu ini dapat bantu selesaikan masalah yang dihadapi oleh  masyarakat bukan Islam dengan lebih berkesan tanpa menyentuh kedaulatan serta keistimewaan masyarakat Islam,”katanya.


Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST) di Seremban, semalam.


Dalam pada itu, Arul berkata, pihaknya akan meluaskan peranan Unit Hal Ehwal Bukan Islam dengan menganjurkan pelbagai program yang efektif bagi selesaikan masalah komuniti bukan Islam.


Katanya, unit yang ditubuhkan di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan yang baharu itu juga tidak akan mengancam kedudukan Islam dan Bumiputera.


Menurutnya, agama Islam sendiri mempunyai Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam yang ditadbir dan diurus dengan baik di negeri ini.


Sementara itu, Pengerusi Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST), Father George Harrison berkata, pihaknya menyambut baik penyertaan mereka sebagai anggota jawatankuasa Unit Hal Ehwal Bukan Islam.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]