Lebih 1,000 ahli Umno mahu sertai Bersatu

in Edisi by


GUA MUSANG – Lebih 1,000 ahli Umno termasuk ketua cawangan, ketua kampung dan tokoh menyatakan hasrat untuk menyertai Pakatan Harapan di bawah parti Bersatu.


Ketua Bahagian Bersatu,  Ab Wahab Yunus berkata, biarpun jumlah itu menunjukkan bilangan yang menggalakkan, namun atas arahan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, penyertaan ahli Umno terpaksa ditangguhkan.


Katanya, ini kerana, ahli Umno perlu membebaskan diri mereka daripada parti itu terlebih dahulu.


“Alhamdulillah, kita mendapat sokongan yang menggalakkan selepas PRU14 malah lebih 1,000 ahli Umno di daerah ini menyatakan hasrat untuk bersama-sama kita.


“Namun, kita akur dengan arahan kerajaan di mana penyertaan ahli Umno perlu ditangguhkan dahulu. Mereka boleh menyokong tanpa perlu menjadi ahli buat masa ini sehingga selesai mesyuarat agung bahagian.


“Yang penting, bebaskan diri dari Umno dan berpolitik secara matang demi perjuangan untuk rakyat, tanpa agenda lain,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas Majlis Berbuka Puasa bersama wakil kepimpinan Harapan di Kesedar Inn, semalam.


Ab Wahab berkata, sejak Februari lalu sehingga kini, Bersatu berjaya mengumpul lebih 1,000 keahlian.


Menurutnya, antara kawasan paling banyak mendapat sokongan adalah Kesedar Paloh, Lebir, Chalil, Renok dan Felda Perasu.


“Tidak kurang juga di kawasan Dun Galas seperti di sekitar bandar di mana jumlahnya agak tinggi mencecah ribuan keahlian.


“Ini menunjukkan perubahan yang benar-benar rakyat mahukan,” katanya.

 


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]