Mahathir nafi buang Salleh Abas

in Nasional by


PUTRAJAYA – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan tuduhan beliau merosakkan institusi kehakiman tidak berasas.


“Kononnya saya rosakkan mahkamah sebab saya buang Salleh Abas (bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Salleh Abas), itu tidak berasas. Bukan saya yang buang. Yang buang adalah Peguam Negara,” katanya.


Menurutnya, tindakan Peguam Negara itu adalah arahan daripada Yang Dipertuan Agong.


“Beliau tidak mahu sebut nama Agong yang mahu buang dia. Tetapi dalam tribunal sebab tidak mahu sebut nama Agung, nama saya la yang terpalit dan buruk.  Saya sudah cerita semua ini tetapi masih kata saya yang buang Salleh Abas,” katanya.


Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu berkata, beliau cuba mentadbir negara dengan terbaik.


“Tetapi kadang-kadang sukar juga bila orang hentam kita buat macam-macam. Ini kita nak kena lawan,” katanya.


Sementara itu, Dr Mahathir turut menceritakan bahawa beliau tidak menyangka cadangannya untuk mengadakan Deklarasi Rakyat bagi menjatuhkan kerajaan BN ketika itu diterima baik oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang.


“Saya terkejut kerana semua mereka sokong. Kit Siang datang, semua daripada parti lawan datang. Kita dapat masalah daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Saya tahu kalau tidak bergabung kita tidak boleh lawan dengan Najib,” katanya.


Dr Mahathir berkata, beliau juga telah menjelaskan kepada pemimpin Pakatan Harapan yang lain bahawa tuduhan dirinya seorang diktator adalah tidak benar.


Beliau berkata, serangan ke atas perintah seseorang itu perlu dilakukan sekiranya mahu berlawan.


“Kalau ketika itu mereka kata saya perdana menteri yang terbaik, macam mana mereka mahu lawan dengan saya. Jadi mereka perlu kata saya perdana menteri yang terburuk. Ini diktator, maha zalim, maha firaun,” katanya.


Bagaimanapun, tuduhan seorang diktator tidak memberi impak terhadapnya.


“Tapi bagi saya tiada kesan. Saya anggap ini sebagai perkara biasa,” katanya.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]