Pas sambut baik peruntukan pembangkang

in Nasional by


KOTA BHARU – Pas mengalu-alukan langkah kerajaan Pakatan Harapan memberi peruntukan RM100,000 kepada ahli Parlimen pembangkang seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.


Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walaupun dilihat masih tidak adil kerana peruntukan yang diberikan tidak sama, namun langkah tersebut lebih baik berbanding zaman pemerintah sebelum ini.


“Kita mengalu-alukan pemberian peruntukan kepada kawasan pembangkang.


“Nampak masih tidak adil kerana kalau berpegang kepada demokrasi yang betul kawasan pembangkang juga kawasan yang rakyat pilih, namun bagi kita langkah itu lebih baik berbanding zaman BN,” katanya selepas merasmikan Muktamar Muslimat Pas di sini, hari ini.


Tun Mahathir sebelum ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 dan RM200,000 untuk Pusat Khidmat Masyarakat ahli Parlimen kerajaan manakala ahli Parlimen pembangkang pula akan mendapat RM100,000.


Tuan Ibrahim berkata, Pas akan menyokong mana-mana dasar kerajaan Pakatan Harapan yang positif dan menegur sekiranya berlaku kepincangan termasuk isu-isu sensitif yang melibatkan negara.


“Seperti mana kata Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) Pas memberi sokongan kepada kerajaan yang melakukan perkara-perkara yang positif, mana-mana yang bercanggah kita akan komen. Contohnya situasi yang berkait dengan institusi agama dan raja-raja, itu pandangan berdasarkan senario semasa,” katanya.


Mengulas isu tuntutan royalti, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya masih menunggu pengumuman rasmi daripada perdana menteri berhubung perkara tersebut.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]