Pasti terus relevan

in Edisi Johor by


PONTIAN – Meskipun terdapat kelas pendidikan prasekolah yang dijalankan Kementerian Pendidikan dan pusat bimbingan awal kanak-kanak oleh pihak swasta, namun kewujudan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) di bawah kelolaan Dewan Pemuda Pas masih dianggap relevan.


Timbalan Pengarah Jabatan Pasti negeri, Mohd Rofizen Ibrahim berkata, kualiti pendidikan sentiasa dipertingkatkan dengan pendekatan pra tahfiz yang membolehkan murid seawal empat tahun mempelajari al-Quran.


Selain itu katanya, guru-guru yang mengajar di Pasti turut mempunyai kelulusan sehingga ada dalam kalangan mereka mempunyai ijazah.


Beliau berkata, sehingga kini dianggarkan terdapat 9,000 kanak-kanak mengikuti kelas Pasti yang mempunyai lebih 200 cawangan melibatkan 500 guru Pasti di seluruh negeri Johor.


“Saya yakin Pasti kekal menjadi pilihan ibu bapa untuk anak-anak mereka mendapatkan bimbangan awal kerana silibus mata pelajaran disediakan cukup baik.


“Dari segi yuran pula, Pasti mengenakan bayaran paling rendah iaitu minimum RM30 sebulan,” katanya ketika ditemui selepas majlis Usrah Perdana dan Nuzul Al-Quran Majlis Guru Pasti Negeri Johor (MGPNJ) di Maahad Pontian, semalam.


Hadir sama, Ketua Penerangan Pas negeri yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Pontian, Samsudin Jaafar.


Pada majlis itu, sumbangan RM16,000 dari Tabung Kebajikan Pasti Malaysia diserahkan kepada MGNTJ.


Mohd Rofizen menambah kecemerlangan Pasti di negeri ini banyak bergantung kepada keikhlasan guru-guru yang bersungguh-sungguh menggerakkan pendidikan di Pasti.


Jelasnya, sehingga kini sebanyak lapan cawangan Sekolah Rendah Integrasi (SRITI) ditubuhkan di negeri Johor.


“Selepas mengikuti pengajian di Pasti, anak-anak pelajar boleh melanjutkan pelajaran mereka ke SRITI. Di Johor, ada lapan SRITI antaranya di Kluang, Ayer Hitam, Sri Gading, Gelang Patah dan Pasir Gudang,” katanya.


Sementara itu Samsudin berkata, pihak kepimpinan Pas amat berbangga dengan kesungguhan lebih 500 guru yang kebanyakan wanita berusaha keras memajukan pendidikan Pasti sehingga menjadi antara tempat bimbangan awal kanak-kanak yang utama di negeri ini.


Katanya, walaupun ada guru-guru yang berhijrah ke pusat pendidikan lain, namun Pasti tidak dibelenggu masalah kerana masih ramai guru-guru yang berminat mengajar di Pasti.


Malah, guru-guru baharu tersebut mempunyai pendidikan lebih tinggi iaitu ijazah dan diploma.


“Kepimpinan Pas melihat Pasti membantu kerajaan dalam soal bimbangan awal kanak-kanak sekali gus memastikan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya.

 


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]