Peruntukan RM1 juta untuk biasiswa Usas

in Uncategorized by


BUKIT CHANDAN – Universiti Sultan Azlan Shah (Usas) memperuntukkan RM1 juta melalui penajaan biasiswa kepada pelajar cemerlang yang mengikuti pengajian di universiti itu bermula Jun tahun lepas.


Naib Canselornya, Tan Sri Nordin Kardi berkata, langkah itu merupakan manifestasi kepada usaha Usas melahirkan graduan berkualiti berasaskan integrasi Islam dalam ilmu profesional.


Menurutnya, biasiswa pelajar cemerlang Usas itu setakat ini memperuntukkan RM1 juta khusus untuk menampung yuran dan asrama sepanjang pengajian pelajar.


“Penajaan ini mula dikuatkuasakan pada Jun 2017 dan buat masa ini hanya 16 pelajar terpilih namun kita jangka akan teruskan program ini dari tahun ke tahun.


“Antara kriteria ditetapkan bagi melayakkan pelajar menerima biasiswa adalah memperoleh keputusan minima 7A dalam SPM atau Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) di atas 3.75 bagi peringkat diploma, asasi atau STPM.


“Selain itu, pelajar perlulah mencapai gred Mumtaz bagi Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan biasiswa ditawarkan hanya untuk pengajian di Usas,” katanyakepada pemberita selepas Majlis


Berbuka Puasa Sumbangan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, di sini, baru-baru ini.


Turut hadir dalam majlis itu adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Gazali Jalal dan Penolong Pengurus Besar Pengurusan Tunai Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Asmarizal Ahmad.


Dalam majlis berkenaan, BIMB juga menyerahkan sumbangan zakat berjumlah RM20,000 untuk kegunaan tabung kebajikan pelajar Usas.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]