SKPMg2 permulaan kurangkan beban guru

in Edisi Johor by


KLUANG – Pemberhentian serta-merta siri audit Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) hanya permulaan untuk mengurangkan beban  guru di negara ini.


Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, beberapa lagi langkah mengurangkan beban guru akan diambil bagi membolehkan mereka menumpukan kepada tugas hakiki iaitu mendidik anak bangsa.


Menurutnya, pihaknya mahu guru kembali kepada ‘roh kependidikan’ dengan memberi tumpuan mengajar dan membina sahsiah pelajar.


“Kerajaan Pakatan Harapan dalam Buku Harapan kita ingin kurangkan beban guru, jadi ini baru permulaan dan kepada guru pula seperti mana kita ingin kurang beban mereka, kita juga minta mereka beri komitmen kepada murid.


“Pada masa sama, saya juga menerima respon yang luar biasa selepas kementerian membuat keputusan hentikan audit SKPMg2, implikasi kegembiraan memang dirasai oleh guru di Malaysia.


“Dengan kegembiraan ini, guru-guru akan lebih berikan komitmen mendidik murid dan fokus kepada mengajar selain memberi lebih waktu untuk meningkatan diri dengan membuat lebih banyak bacaan atau kajian,” katanya.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata demikian selepas meninjau kerja-kerja naik taraf di jalan besar Simpang Renggam-Johor Bahru, dekat sini, hari ini.


Dalam pada itu, Maszlee turut menyifatkan pengumuman Kementerian Pendidikan pada 7 Jun lalu sebagai ‘bonus hari raya’ untuk guru.


Katanya, walaupun bukan berbentuk insentif wang namun ia dapat kurangkan beban di samping memberi kegembiraan kepada golongan pendidik.


“Saya sendiri mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan kumpulan guru termasuk di Simpang Renggam bagi mendapatkan maklum balas mereka tentang tugas dan masalah dihadapi.


“Maklum balas guru tentang pemberhentian siri audit SKPMg2 amat luar biasa sekali malah saya dimaklumkan ada guru yang mengalami tekanan darah tinggi, tidak boleh tidur dan ada juga yang mereka laporan bagi tujuan audit,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]