Tun M dedah rahsia tumbangkan BN

in Politik by


PUTRAJAYA – Kemenangan Pakatan Harapan (Harapan) ke atas BN dalam PRU14 lalu hasil konsep bersatu padu yang diterapkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam gabungan parti itu.


Kata Dr Mahathir, mentaliti parti dalam Harapan sebelum ini lebih kepada menegakkan perjuangan sendiri selain mahu membalas dendam kepada Kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak.    


“Formulanya senang sahaja. Selagi mereka berperang sesama mereka, mereka akan kalah. Kalau mereka berjuang bersendirian satu-satu parti, mereka akan kalah. Mereka akan lawan sesama sendiri.


“Dulu saya dalam Umno-BN, saya tidak takut langsung nak kalah. Saya tahu mereka ini (Harapan) tidak boleh kerjasama, dia lawan sesama mereka, mereka jatuh, kita menang. Jadi bila saya masuk dengan mereka, saya terangkan kepada mereka, kalau bersendirian awak tidak boleh menang. Kena bersatu,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Sinar Harian.


Menurutnya, formula tersebut berjaya sekali gus menyaksikan Harapan berjaya membentuk kerajaan buat kali pertama sejak 60 tahun lalu.


“Dulu banyak parti lawan ini berasa nak balas dendam, marah. Kalau rasa nak balas dendam, marah, kita jadi macam apa yang berlaku di negara-negara Arab. Dia lawan bukan sebab nak menang tetapi nak balas dendam. Kita tidak mahu seperti itu.


“Saya kata kepada parti-parti lawan ini, sudah 60 tahun berjuang, apa yang dapat? Jadi mereka sedar tidak dapat apa-apa selagi mereka tidak bergabung. Jadi disebabkan itu walaupun saya ini dulu musuh ketat mereka, mereka sanggup menerima nasihat daripada saya, jauh lebih daripada itu sampai angkat saya jadi pengerusi dan calon perdana menteri,” katanya. 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]