Umno berterima kasih kepada Tun Mahathir

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Umno berterima kasih kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana meneruskan tradisi pemberian bonus raya kepada peneroka Felda dan Felcra.


Dalam satu kenyataan, Umno berkata peruntukan RM50 juta untuk peneroka Felda adalah kesinambungan dari kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelumnya.


Sementara itu, peneroka Felcra akan menerima RM44 juta dari keuntungan perniagaan agensi itu, yang tidak akan menjejaskan perbelanjaan kerajaan.


Unit komunikasi strategik Umno berkata, semua ini adalah hasil daripada desakan parti baru-baru ini bahawa pertimbangan diberikan untuk bonus raya peneroka.


Sememangnya, bonus dan duit raya untuk peneroka telah menjadi ‘tradisi’ kerajaan BN sejak Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri pada 2009.


Kenyataan itu berkata, sumbangan peneroka kepada ekonomi negara adalah sangat besar dan tidak boleh ditolak oleh mana-mana pihak termasuk Pakatan Harapan.


Dalam perkembangan berasingan, kenyataan itu turut mengaitkan ada suara pihak tertentu yang mendesak agar penyertaan sebagai peneroka Felda serta kemasukan ke UiTM dibuka kepada semua kaum.


“Umno melihatnya dengan penuh kegusaran kerana ia akan mengecilkan hak orang Melayu di tanah air sendiri. Di samping tiada desakan agar kampung-kampung baru dan institusi pengajian Cina dan India ‘diMelayukan’, maka hak mereka terhadap Felda tidak perlu dipertikaikan,” katanya.


Umno juga mengingatkan bahawa syarat wajib untuk menjadi peneroka ialah miskin dan tidak memiliki walaupun sejengkal tanah di kampung asal mereka dan tanah Felda adalah satu-satu tanah yang mereka ada.


Katanya, biarlah Felda dijadikan hak Melayu, seperti wujudnya kampung baharu untuk bangsa Cina dahulu dan perlu diingat dalam pada kerajaan Harapan mewujudkan ‘Malaysian Malaysia’, perlu menghormati hak sesuatu kaum di negara majmuk ini.


“Sebenarnya bangsa Melayu sudah banyak berkorban terhadap hak mereka sebelum ini, termasuk memperuntukkan 10 peratus tempat untuk pelajar bukan Melayu di MRSM,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]